Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Lebih 50 orang murid tahun 6 dari lima buah sekolah di kawasan Mukim Berakas B yang akan menduduki peperiksaan PSR tahun ini, telah menghadiri Majlis Pelancaran Program Mumtaz 2021, hari ini.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan itu disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Murid yang terpilih di bawah Program Mumtaz 2021 itu terdiri daripada pelajar tertentu yang akan mengikuti tuisyen secara percuma bermula hari ini.
Yang Berhormat Dato, dalam ucapan pelancaran program berkenaan antara lain menjelaskan, program tersebut memberi impak bukan setakat dalam peperiksaan PSR tahun ini tetapi ia juga berpotensi memberikan kesan kepada masa hadapan pelajar serta ahli keluarga mereka pada tahun-tahun akan datang. Program yang menyasarkan golongan murid PSR daripada latar belakang tertentu termasuk program Skim Miftahuun Najaah dan bantuan pihak kerajaan itu memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar untuk meneruskan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.
“Ini secara inklusif akan menjadikan mereka insan cemerlang di masa akan datang dan tidak kurang hebatnya berbanding pelajar lain,” tambahnya.


Katanya lagi, “Program Mumtaz ini mempunyai makna intangible yang amat besar dan mampu memperkasa lebih ramai golongan sasaran dalam jangka masa panjang.”
Yang Berhormat Dato seterusnya menyeru pelajar yang menyertai program ini supaya merebut peluang sepenuhnya dan belajar dengan tekun. Di samping itu, pelajar program juga diingatkan supaya sentiasa mendengar nasihat guru, ibu bapa serta penjaga kerana mereka menginginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan tiada kejayaan yang dapat dicapai tanpa semangat tinggi dan usaha keras.
Dalam masa yang sama, ibu bapa juga diseru supaya sentiasa memberi sokongan padu kepada anak-anak untuk mendorong mereka mencapai kejayaan pada masa depan.
“Usaha membantu golongan yang memerlukan adalah tanggungjawab bersama dan program ini jelas menunjukkan kebolehan belia untuk sama-sama membangun negara dari peringkat akar umbi dan yang paling penting adalah impak dan kesan berpanjangan hasil perkongsian dan kerjasama ikhlas yang disumbangkan.
“Teruslah berusaha untuk merealisasikan masa depan yang terbaik di samping memenuhi harapan supaya semua anak-anak kita akan meraih kejayaan berterusan dalam kehidupan mereka tanpa mengira latar belakang,” tambah beliau.
Yang Berhormat Dato seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja dan pelajar yang menyertai Program Mumtaz 2021. Turut hadir di majlis ialah setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, ahli Majlis Mesyuarat Negara dan tetamu khas lain.