Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Muzakarah Penerangan dekati masyarakat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Selaras dengan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan, Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, baru-baru ini, telah mengadakan Program Muzakarah Penerangan bersama penduduk Mukim Serasa.

    Program yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Sultan Umar Ali Saifuddin, Pekan Muara itu antara lain bertujuan untuk mendekati masyarakat secara turun padang melalui pendekatan bersemuka.

    Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar dalam mukadimahnya antara lain menjelaskan program berkenaan merupakan salah satu usaha kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan untuk berdialog dengan pemimpin akar umbi masyarakat dalam menyampaikan penjelasan, mendengar permasalahan, dan menghebahkan maklumat rasmi kerajaan.

    Hal ini adalah selaras dengan tuntutan agama Islam, iaitu segala isu atau permasalahan hendaklah dibincangkan bersama.

    Hadir mewakili Mukim Serasa, Penghulu Mukim Serasa, Awang Saiful Adli bin Ali Hassan yang antara lain menegaskan, program ini amat penting kerana ia bukan sahaja menjadi wadah untuk bertukar fikiran, tetapi juga sebagai penghubung yang mengeratkan lagi hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

    Ahli panel muzakarah terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Saliran dan Pembetungan, dan Jabatan Jalan Raya.

    Ahli panel muzakarah dari Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Selain Jabatan Kemajuan Perumahan, Jabatan Tanah, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Jabatan Perikanan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi, dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya.

    Antara perkara-perkara yang dibentangkan di sesi muzakarah berkenaan meliputi prasarana, ekonomi, kemudahan awam, keselamatan dan lain-lain.

    Program Muzakarah Penerangan ini merupakan satu program di mana agensi-agensi kerajaan sebagai penggerak pentadbiran negara akan sentiasa memastikan apa jua isu dan permasalahan rakyat dan penduduk di negara ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin mengikut gerak kerja masing-masing.

    Turut hadir pada Program Muzakarah Penerangan bersama penduduk Mukim Serasa itu, Ketua-Ketua Kampung di bawah tadahan Mukim Serasa serta penduduk kampung.

     

    Suasana sekitar Program Muzakarah Penerangan bersama penduduk Mukim Serasa di Dewan Sekolah Rendah Sultan Umar Ali Saifuddin.
    Antara yang hadir pada Program Muzakarah Penerangan bersama penduduk Mukim Serasa, baru-baru ini. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda