Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program MyLesen bawa kelegaan untuk warga emas

    SARATOK, 11 OGOS – Setelah bertahun menjalani kehidupan dengan berulang-alik mengayuh basikal, Mili Lita, 74, kini dapat menarik nafas lega apabila memperoleh lesen motosikal selepas mengikuti Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di sini.

    Warga emas yang menetap di Kampung Melango di sini, merupakan antara 1,771 peserta yang berjaya menamatkan program tersebut, yang turut melibatkan kerjasama Pejabat Daerah Saratok, Pusat Khidmat DUN Kalaka dan DUN Krian, Akademi Memandu Sarikei serta agensi-agensi kerajaan berkaitan.

    Ditemui Bernama selepas majlis penutupan program, Mili berkata beliau memang sudah lama berhasrat untuk mendapatkan lesen motosikal namun kadar bayaran untuk proses tersebut di luar kemampuannya, apatah lagi dengan pendapatan yang tidak menentu melakukan kerja-kerja kampung.

    Di bawah program Bantuan MyLesen, peserta membayar RM250 sahaja berbanding RM655 yang biasa dikenakan pengusaha sekolah memandu, justeru merupakan peluang keemasan buatnya.

    “Hasrat untuk memiliki lesen memandu sah kembali berkobar-kobar apabila anak saudara saya memberikan sebuah motosikal dan kebetulan pula ada program ini. Saya tak berfikir panjang terus bersetuju dan meminta bantuan daripada anak untuk membayar yuran RM250 itu,” katanya.

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menyempurnakan majlis penutupan program itu yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah atau B40 mendapatkan lesen motosikal.

    Dalam ucapannya beliau berkata motosikal merupakan kenderaan yang banyak digunakan dan antara medium pengangkutan yang umum dalam kalangan masyarakat khususnya di luar bandar, namun risiko terdedah kepada kemalangan adalah amat tinggi.

    Menurutnya, berdasarkan statistik tahun lepas, sebanyak 52 peratus atau 198 kes daripada keseluruhan 378 kes kemalangan maut direkodkan di Sarawak melibatkan penunggang motosikal. – Bernama

    Peserta lelaki paling tua bagi Program Bantuan MyLesen ADUN N.38 Kalaka dan ADUN N.39 Krian, Mili Lita menunjukkan replika lesen memandu motosikal kelas B2 pada majlis penutupan program tersebut. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda