Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Untuk memperkasa kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah sebagai pegangan agama tulen di Negara Brunei Darussalam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah telah menganjurkan Nadwah Pengukuhan Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah siri kedua, hari ini.
Program kali ini yang diadakan di Dewan Tarbiah, KUPU SB, membawa tajuk Hukum Mengamalkan Tawassul, Tabaruk, Istigathah dan Selawat dalam Syariat Islam.
Program nadwah diharapkan dapat mendidik para jemputan supaya istiqamah berpegang teguh kepada aliran Ahli Sunnah Waljama’ah yang sebenar menurut al-Asha’irah Wa al-Maturidiyyah.
Profesor Madya di Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, Profesor Madya Dr Muhammad Yusuf bin Khalid selaku penyampai dalam nadwah berkenaan menjelaskan bahawa isu selawat Tafrijiyyah banyak dipolemikkan dalam kalangan masyarakat Islam Arab namun bagi masyarakat di alam Melayu perlu dan sepatutnya mencari ilmu berkaitan dengan selawat Tafrijiyyah dan tidak mudah menuduh sesuatu amalan berkenaan sebagai bidaah atau syirik hanya ke-rana terpengaruh dengan golongan tertentu dari negara Arab.
Beliau juga memberikan penerangan mengenai amalan tawassul yang harus seperti menggunakan nama-nama (al-Asma al-Husna) Allah SWT yang indah dan sifat-sifat kesempurnaanNya, bertawassul dengan keimanan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW serta amalan soleh ketaatan perintah Allah SWT, bertawassul dengan amal-amal soleh yang dilakukan oleh seseorang dan bertawassul menggunakan kedudukan nama Nabi Muhammad SAW dan orang-orang soleh ketika mereka masih hidup.
Selain itu, beliau menyentuh amalan tawassul yang haram seperti berdoa menggunakan wasilah yang dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur syirik. Perkara ini terjadi apabila wasilah yang digunakan itu dipercayai mempunyai kuasa mutlak untuk menerima permintaan orang yang melakukan amalan itu. Perbuatan ini adalah termasuk dalam kesyirikan kepada Allah SWT.
Oleh itu, tambah beliau, tawassul kategori ini disepakati keharamannya kerana bentuk pengamalannya yang bercanggah dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.
