Saturday, July 12, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program orientasi IBTE raikan 1,625 pelajar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Seramai 1,625 pelajar baharu Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) pengambilan Ogos 2025 diraikan sempena Majlis Pembukaan Minggu Orientasi 2025 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pagi tadi.

    Program orientasi berkenaan akan berlangsung mulai hari ini hingga 14 Julai, menandakan permulaan rasmi perjalanan akademik bagi para pelajar yang memilih laluan pendidikan teknikal dan vokasional di IBTE.

    Bagi sesi 2025/2026, IBTE menawarkan sebanyak 47 program pengajian merangkumi empat program Diploma (Tahap 5 BDQF), 25 program Sijil Teknikal Kebangsaan Tinggi (HNTec), 16 program Sijil Teknikal Kebangsaan (NTec) dan dua program Tahap II.

    Majlis berkenaan telah dihadiri dan disempurnakan oleh tetamu kehormat, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pendidikan Teknikal, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli. Turut hadir ialah para pegawai kanan, pengetua, serta tenaga pengajar dari kampus-kampus IBTE seluruh negara.

    Dr Haji Mohd Zamri menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Ikrar Pelajar dan ucapan alu-aluan oleh tetamu kehormat yang mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada para pelajar baharu sambil menyatakan bahawa kehadiran mereka merupakan bukti komitmen dan potensi yang dimiliki.

    “Tahniah! Awda telah pun melangkah dari alam persekolahan ke alam profesional teknikal yang sedang dilatih. IBTE akan mengembangkan potensi awda agar menjadi sumber tenaga mahir yang diperlukan negara,” ujarnya.

    Menurut beliau, jumlah penyertaan sebanyak 1,625 pelajar tahun ini menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap pendidikan teknikal dan vokasional dengan kumpulan pelajar yang pelbagai dan dinamik.

    Mengulas lanjut mengenai hala tuju institut, beliau berkata bahawa IBTE bukan hanya memberikan sijil atau diploma, malah memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan sebagaimana terkandung dalam Pelan Strategik IBTE 2025–2030.

    “Kami mahu awda meninggalkan IBTE bukan sekadar dengan kelayakan, tetapi juga keyakinan, kemahiran praktikal, dan peluang masa depan. IBTE berazam untuk memperkasakan pelajar melalui pembelajaran berasaskan industri dan kerjasama dinamik dengan pihak berkepentingan,” tambah beliau.

    Beliau turut menyatakan bahawa para pelajar akan diberikan peluang untuk membina kemahiran insaniah termasuk dalam komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah, dan kerjasama pasukan, sejajar dengan misi IBTE untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja boleh bekerja, tetapi juga bersedia memimpin dan mencipta perubahan.

    Minggu Orientasi selama tiga hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti dan taklimat bermanfaat, termasuk sesi perkongsian daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara, serta taklimat khas bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran di IBTE selain taklimat di peringkat kampus dan sesi keagamaan oleh tenaga pengajar dari kampus masing-masing.

     Semua di atas: Antara suasana semasa program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda