Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seramai 270 orang peserta telah menyertai Program Pejuang Fajr kali ke-17 yang berlangsung pada awal pagi tadi di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Para peserta terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, guru-guru dan pelajar-pelajar Sekolah Alif Rimba, belia masjid, alumni Akademi Dakwah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penduduk Kampung Rimba serta orang ramai.
Program anjuran Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama itu bertujuan menyemai semangat kebersamaan, memupuk kefahaman beragama dalam kalangan masyarakat serta mengimarahkan masjid dengan tema Quran Connect: Online Dengan Allah Setiap Hari.
Hadir sama ialah Penghulu Mukim Gadong ‘A’ merangkap Pemangku Ketua Kampung Kawasan 1, Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba, Haji Adnan bin Haji Bagol.
Acara dimulakan dengan sesi Qiyamullail yang diketuai oleh Belia Da’ie, diikuti dengan solat Fardu Subuh berjemaah dan bacaan zikir pagi dipimpin oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, merangkap tenaga pengajar Sekolah Alif Rimba.
Program turut menampilkan tazkirah Subuh bertajuk Quran Connect: Online Dengan Allah Setiap Hari disampaikan oleh Pegawai Ugama PDI, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Antara intipati ceramah yang dikongsikan ialah penekanan kepada pembudayaan amalan membaca Al-Quran sebagai amalan rutin harian, sama ada selepas menunaikan sembahyang Fardu Subuh atau sebelum tidur. Membaca Al-Quran diibaratkan kita berkomunikasi dengan Allah SWT kerana ayat-ayat suci Al-Quran merupakan kalamullah.
Setiap huruf pada ayat-ayat Al-Quran yang dilafazkan turut dijanjikan ganjaran yang besar kepada pembacanya. Ceramah juga menekankan kepentingan memahami dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran agar penghayatannya lebih mendalam, seterusnya membolehkan pengajaran yang diperoleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, turut diadakan siri aktiviti berkonsepkan Menghayati Al-Quran dalam Kehidupan khusus untuk pelajar-pelajar Sekolah Alif Rimba melibatkan tiga aktiviti utama iaitu Aktiviti This or That yang menguji kefahaman adab dan pilihan berlandaskan ajaran Al-Quran; Aktiviti Quran Says yang menggabungkan permainan dengan penerapan nilai akhlak seperti syukur, kasih sayang dan hormat; Aktiviti Mystery Box menekankan semangat berpasukan melalui hafazan dan permainan word search berasaskan ayat Al-Qur’an.
Fasilitator program terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pejuang Fajr bersama Sekolah Alif Rimba.


