Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program pelbagaikan metodologi dakwah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Seramai 150 orang telah menghadiri program Rehlah Ilmiyah dan Walkaton Hijrah 1446 sempena sambutan Ilal Hijrah 1446 yang diadakan di Masjid Kampung Bengkurong, hari ini.

    Antara objektif program berkenaan ialah untuk mempelbagaikan metodologi dakwah kepada golongan belia mengikut perkembangan semasa.

    Di samping itu, ia diadakan bagi membina jati diri yang berorientasikan Melayu Islam Beraja (MIB), dan memupuk rasa cinta terhadap masjid dengan memakmurkan masjid dari semasa ke semasa.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.

    Program dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah, dikuti dengan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh belia Masjid Hassanal Bolkiah, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri, Awang Muhammad Faris Zayani bin Firdausil Amin.

    Kemudian, program diisikan dengan tazkirah subuh bertajuk Memelihara Akal, Masyarakat Sejahtera yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, dan diteruskan dengan aktiviti walkaton di kawasan berhampiran masjid berkenaan.

    Dengan perlaksanaan program ini, ia diharapkan dapat mendidik para belia agar bergiat aktif dalam aktiviti amal dan berbakti kepada masjid, seterusnya akan melahirkan lebih ramai lagi belia Islam yang berdisiplin dan bertanggungjawab.

    Program berkenaan melibatkan belia-belia daripada Program Keugamaan Belia KHEU yang berdaftar di bawah PDI dan Jabatan Hal Ehwal Masjid; belia-belia di bawah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); penuntut-penuntut dari institusi-intitusi pengajian tinggi tempatan; serta penduduk Kampung Bengkurong dan juga orang awam.

    Turut hadir, Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, dan Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Program berkenaan merupakan anjuran PDI dan Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Program Keugamaan Belia di bawah KHEU.

    Awang Ahmad Muzhafar semasa menyampaikan tazkirah subuh bertajuk Memelihara Akal, Masyarakat Sejahtera. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang menyertai aktiviti walkaton di Masjid Kampung Bengkurong, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda