Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Program Perkembangan Kapasiti Pusat Serantau mengenai Holistic Integrated Early Childhood Care Education: Our Happy Neighbourhood telah melabuhkan tirainya, petang tadi, dengan majlis penutup yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Program selama empat hari bermula 10 Jun lalu itu merupakan anjuran bersama Jabatan Sekolah-sekolah melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan dan Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Centre for Early Childhood Care Education and Parenting (SEAMEO CECCEP), Indonesia.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang yang sekali gus menyampaikan ucapan sejurus bacaan Surah Al-Fatihah bagi memberkati majlis.
Majlis turut menyaksikan ucapan daripada Pengarah SEAMEO CECCEP, Indonesia, Profesor Vina Adriany dan wakil peserta iaitu Guru Prasekolah, Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil, Haji Ahmad Rifaie bin Haji Abdul Malek.