KOTA KINABALU, 14 Ogos – Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah (Program Rehiring Sabah 2017) akan berakhir esok dan tidak akan dilanjutkan, kata Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Musa Sulaiman. Beliau berkata program bertujuan memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia, khususnya di Sabah, diberikan permit kerja sah itu telah dilaksanakan selama enam bulan mulai 15 Feb dan diurus oleh syarikat Inti Padu Technology Sdn. Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri.
“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan majikan untuk mengambil peluang mendaftar pekerja mereka selagi masih ada masa. Ini kerana, selepas ini (program tidak dilaksanakan), Jabatan Imigresen mempertimbang untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan jika didapati masih melindungi pekerja atau menggaji pekerja tanpa pas sah,” katanya padasidang media di sini hari ini.
Musa berkata hanya terdapat 1,088 pekerja asing didaftarkan oleh majikan di bawah program itu sejak ia dilaksanakan, jauh daripada sasaran awal sebelum ini iaitu 50,000 orang. – Bernama