Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Seramai 70 orang peserta menyertai Program Pengukuhan Institusi Kekeluargaan melalui Bimbingan Imam dan Makmum dalam Keluarga Siri Kedua : Imam dan Peranannya berlangsung di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, hari ini.
Bagi edisi kali ini, pengisian program menampilkan bimbingan khas yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas merangkap Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali.

Program ini antara lain bertujuan memperkukuh kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kewajipan menunaikan ibadah solat serta mengetengahkan peranan imam sebagai pemimpin rohani yang membimbing jemaah, menyampaikan ilmu dan menjadi contoh teladan dalam penghayatan amalan seharian.
Dalam masa yang sama, imam turut diangkat sebagai pemimpin dalam institusi keluarga dengan berperanan mendidik anak-anak dengan nilai Islam, membimbing ahli keluarga dalam pelaksanaan ibadah serta memastikan keharmonian rumah tangga berpaksikan syariat Islam.

Program berkenaan juga memberi pendedahan mengenai rukhsah solat bagi memastikan kewajipan ibadah tetap terpelihara walaupun dalam keadaan kesulitan di samping menekankan penerapan nilai kemasyarakatan seperti kepatuhan makmum kepada imam serta mengimarahkan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu dan tarbiah kepada masyarakat.
Peserta program terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Pembangunan serta Syarikat Takaful Brunei.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar dan para jemaah masjid berkenaan.
Program khas berkenaan merupakan anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

