Oleh Daniel Lim
TUTONG, 16 JULAI – Satu program kesihatan melibatkan warga Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dan Pusat Aktiviti Warga Emas telah dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong pada 12 Julai lalu.
Program Kecergasan dan Kesihatan tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada kerjasama antara jabatan tersebut dan kumpulan Super Slim Fit Brunei Biggest Charity Fitness Group.
Ketua jabatan berkenaan, Dayang Amhra Farahiyah Binti Hj Mohd Hamdilah menyatakan bahawa tujuan dan matlamat program diadakan adalah untuk mendedahkan masyarakat khususnya Daerah Tutong untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kesihatan dan kecergasan apabila menyatakan, “masih belum terlambat untuk memulakan hidup yang sihat dan kelas begini sentiasa ceria serta penuh dengan gelak ketawa.”
Sementara itu, pengetua kumpulan amal berkenaan , Tan Sui Seng menjelaskan bahawa mereka menyediakan pelbagai senaman sepanjang program tersebut termasuk yoga, terapi regangan, pilates, senaman kardio, kickboxing, senaman fungsi badan, kelas untuk keperluan khas, kelas senior, terapi penetapan tulang, fisioterapi dan banyak lagi.
“Semua peserta belajar daripada asas melalui jurulatih sukarelawan kumpulan, yang membantu peserta sambil belajar perlahan-lahan dan langkah demi langkah untuk memastikan ahli melakukan senaman atau regangan dengan betul.”
Pengetua Tan Sui Seng juga menambah bahawa kelas percuma diadakan di Stadium Nasional Berakas setiap minggu dan orang ramai dialu-alukan untuk menyertai kelas ini.
Program sedemikian diharap dapat menggalakkan peserta supaya sentiasa bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.