Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Perkampungan Sivik hari ketiga

    Oleh Pg Fairol RMF & Imelda Groves HA

    Gambar oleh Pg Fairol RMF & Rahwani Azahari

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Program Perkampungan Sivik anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, memasuki hari ketiga, hari ini, yang diisikan dengan dua sesi taklimat dan lawatan ke Darussalam Enterprise (DARe).

    Sesi taklimat telah diadakan di Bilik Serba Guna, Kompleks Sukan Sungai Kebun, di sini, pagi tadi dengan mengetengahkan mengenai konsep ‘Melayu Islam Beraja (MIB) yang disampaikan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Pengiran Dr. Khairul Rijal bin Pengiran Haji Abdul Rahim dan ‘Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah’ yang disampaikan oleh wakil dari Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Dalam taklimat itu, Pengiran Dr. Khairul Rijal menyentuh mengenai konsep negara yang bersepadu, yang mana Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna adalah kayu ukur dalam mengamalkan dan menghayati konsep MIB.

    Selain itu, beliau juga mengetengahkan mengenai kewujudan kesultanan Melayu Brunei, cabaran-cabaran serta pengukuhan dan kelangsungannya.

    Sementara itu, taklimat kedua antara lain mengetengahkan mengenai Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, kepada siapa perintah ini dilaksanakan, pengenalan kesalahan-kesalahan, jenis-jenis hukuman dan kesalahan-kesalahan am.

    Pengiran Dr. Khairul Rijal semasa menyampaikan taklimat mengenai MIB.
    Awang Mohd Khairul Azmi ketika menyampaikan taklimat mengenai DARe kepada para peserta.
    Para peserta mendengarkan taklimat semasa lawatan ke DARe.

    Pada sebelah petang pula, para peserta program seramai 26 orang lepasan ijazah dari institusi-institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara berkenaan telah mengadakan lawatan ke DARe, Anggerek Desa, di mana mereka dialu-alukan oleh petugas di sana.

    Sebagai komponen penting dalam lawatan pendidikan mereka ke organisasi yang menumpukan objektif memupuk dan menyokong perusahaan tempatan dari permulaan pertumbuhan, para peserta telah mendengarkan penerangan mengenai peranan dan fungsi DARe.

    Mereka juga diberi taklimat mengenai peranan DARe dalam membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang disampaikan oleh pegawai DARe, Awang Mohd Khairul Azmi bin Haji Mohd Salleh. Selain itu, para peserta juga mendengarkan taklimat mengenai kemudahan perniagaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda