Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program perkasa pemimpin belia pulihara marin

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Dengan matlamat membangunkan kapasiti para pemimpin belia khususnya dalam bidang pemuliharaan marin, pemimpin-pemimpin belia yang terpilih dari universiti-universiti dan sekolah-sekolah menengah di Brunei yang berusia 18 hingga 23 tahun menyertai Program AdvocaSEA Camp yang berlangsung di The Core, Universiti Brunei Darussalam dari 28 Februari hingga 4 Mac.

    AdvocaSEA Camp merupakan bengkel selama lima hari yang dianjurkan oleh Sustainable Oceans Alliance (SOA) Brunei dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam di mana ia dihasratkan untuk melatih belia supaya dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pemuliharaan marin. Menurut SOA Brunei, program itu memberikan peluang kepada pemimpin belia yang terpilih untuk memperoleh pengalaman mengenai persekitaran laut sambil memperkenalkan kepada mereka cabaran-cabaran yang mengancam lautan kita.

    Semasa penutup bengkel berkenaan, Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat, Jeff Barrus menyeru para peserta supaya menyer-tai program-program seperti Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) dan Persidangan Our Ocean 2022 yang akan berlangsung pada April nanti untuk terus mempromosikan pemuliharaan lautan.

    Beliau berkata sepanjang bengkel, para peserta bengkel berpeluang melihat sendiri keindahan lautan dan mereka juga berpeluang berkongsi perspektif serta memperoleh kesedaran mengenai kepelbagaian marin dan usaha pemuliharaan lautan.

    Beliau berharap mereka dapat menyebarkan mesej bahawa lautan Brunei adalah menakjubkan dan ia dibukakan kepada kita setiap hari namun ia memerlukan perlindungan kita.

    Sementara itu, pengurus projek, Shaima Misli menerangkan bahawa program itu memberikan peluang kepada para belia untuk bertemu dan belajar daripada pencinta alam semula jadi yang lain menerusi sisi bengkel serta aktiviti mengenai pemuliharaan, keterangkuman, perkongsian di khalayak ramai, pembentangan projek dan perancangan bajet.

    Beliau berkata para peserta program berkenaan juga berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti menarik termasuk menyelam di Pelong Rocks dan di akhir program, mereka juga membentangkan projek-projek susulan di mana tiga kumpulan telah dipilih serta diberikan geran untuk melaksanakan projek berkenaan.

    Para pemimpin belia terpilih semasa menyertai Program AdvocaSEA Camp yang berlangsung di The Core, Universiti Brunei Darussalam baru-baru ini. – Gambar serahan SOA Brunei
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda