Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam terus berusaha melaksanakan pelbagai program untuk mencapai dua matlamat utamanya iaitu untuk memperkasa wanita dan membantu Negara Brunei Darussalam mencapai usaha mempelbagaikan ekonomi menerusi keusahawanan.
Usahawan memainkan pera-nan kritikal dalam membina ekonomi yang dinamik dan inovatif yang dapat menjana peluang-peluang untuk warga sesebuah negara, jelas Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland dalam kata alu-aluannya pada Majlis Academy for Women Entrepreneurs (AWE) Graduation yang berlangsung di Dewan VIP, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Beliau menyatakan bahawa AWE telah ditubuhkan oleh Jabatan Negara AS dan pada masa ini, beroperasi di 80 buah negara di serata dunia.
Program AWE direka untuk memperkasa wanita bagi mencapai potensi ekonomi dan dalam pada itu, menjana keadaan bagi meningkatkan kestabilan, sekuriti dan kemakmuran untuk semua.
PYT McClelland menambah bahawa program itu memberikan usahawan wanita ilmu pengetahuan, rangkaian serta akses yang diperlukan oleh mereka untuk melancarkan dan mengembangkan perniagaan yang berjaya.
Beliau berkata lagi bahawa AWE adalah benar-benar unik di mana ia direka khusus untuk wanita dan dipermudahkan pengalaman mereka di sekitar program dalam talian DreamBuilder yang dibangunkan oleh Thunderbird School of Global Management, Arizona State University dan syarikat perlombongan global, Freeport-McMoRan.
Program itu melengkapkan wanita dengan kaedah untuk menjana sebuah pelan perniagaan, mengurus perbelanjaan, mendapatkan modal dan menubuhkan rangkaian dengan pemilik-pemilik perniagaan berjaya yang lain secara efektif.
PYT McClelland menerangkan bahawa AWE dilancarkan di Brunei pada Oktober 2021 dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe), di mana ia menyokong beberapa matlamat sosioekonomi ASEAN termasuk mempromosikan pelaburan, literasi kewangan, kesaksamaan jantina dan memperkasakan wanita.
Bagi kumpulan pertama program AWE di Brunei, seramai 36 orang peserta telah dipilih daripada kumpulan 186 pemohon di mana ia menunjukkan ciri daya keusahawanan wanita Brunei.
Kumpulan pertama AWE berkenaan mempunyai pelbagai minat perniagaan termasuk produk makanan dan minuman, ekopelancongan, rekaan fesyen dan pendidikan awal kanak-kanak.