BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Program Perkhemahan Belia Hijrah Mahabbah Lillah kali ke-10 anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan dikelolakan oleh Kumpulan Al-Qudwah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 14 Disember hingga hari ini telah menutup tirainya dengan
majlis penutup bertempat di Auditorium UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada seramai 50 orang belia berkenaan ialah Penolong Pengarah Yayasan, Mejar (B) Awang Sopian bin Haji Mohammad Yassin.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Dr Supri bin Haji Sudin.
Program perkhemahan pada tahun ini bertemakan Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 1445H. Program itu dilaksanakan sempena cuti penggal akhir persekolahan tahun 2024.
Seramai 50 peserta iaitu 25 orang lelaki dan 25 orang perempuan yang terdiri daripada para pelajar dari beberapa buah sekolah menengah dan pusat tingkatan enam yang berumur antara 14 hingga 19 tahun dari keempat-empat daerah telah menyertai program berkenaan.
Antara aktiviti yang dijalankan pada hari pertama perkhemahan termasuk sesi Ta’aruf, taktik masa, aktiviti kerja berpasukan, memanah dan ditutup dengan Majlis Mawlid.
Antara tujuan program adalah untuk memberikan pendedahan dan kesedaran kepada belia, mempersiapkan mereka untuk menghadapi kehidupan dunia dan akhirat melalui penghayatan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
Ia juga bertujuan membentuk keperibadian belia melalui amalan membaca dan
mendalami mesej tersurat serta tersirat dalam Al-Quran.
Selain itu, program itu juga berperanan sebagai platform untuk melatih peserta melibatkan diri dalam aktiviti bermakna yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, sambil memperkukuh keimanan, meningkatkan motivasi diri, serta menguji ketahanan mental, emosi, dan fizikal mereka.
Program itu juga bertujuan untuk membina jiwa generasi belia agar kembali kepada Allah, menyemai nilai jati diri, dan menyuburkan ukhuwah sesama peserta.