Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 1 DIS – Program perkhemahan rekreasi selama tiga hari yang diadakan di kawasan sekitar Taman Rekreasi Kampung Sungai Mau ber-akhir pada hari ini.
Hadir pada majlis penutup program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Program yang julung kali diadakan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Mau dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait itu bertujuan memberi peluang kepada pengunjung berkhemah, meneroka dan menikmati pelbagai keindahan pemandangan yang terdapat di kawasan sekitar kampung itu.
Dalam ucapan penutup oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku pengerusi program, menjelaskan bahawa program tersebut telah diadakan sejak 29 November lalu dan menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan di tempat tersebut.
“Sepanjang program itu, pelbagai aktiviti telah diadakan se-perti pertandingan gulintangan, Hari Sukan dan persembahan kebudayaan daripada Selendang Sutera Brunei Darussalam dan sebagainya,” kata beliau.
Selain itu, pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jemputan turut mendirikan petak pameran untuk pengunjung mengetahui lebih lanjut tentang peranan dan fungsi agensi dan kumpulan berkenaan.
Bagi memperingati majlis itu, sijil penghargaan telah disampaikan kepada wakil agensi kerajaan dan NGO oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi.
Acara diteruskan dengan persembahan alat tiupan kayu oleh anggota beruniform dari Jabatan Penjara dan berakhir dengan Yang Berhormat Pehin meninjau pelbagai gerai pameran.