Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 29 DIS – Dengan hasrat untuk menambah pengetahuan semasa dalam meniti kehidupan bermasyarakat, cawangan-cawangan Daerah Tutong bagi Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dan Kumpulan IMPAK Tutong Youth Movement telah mengadakan Program Perkongsian Integrasi 2020 bersempena Kempen Hari Bertindak (DoA) di Dewan Serba guna PKWE Daerah Tutong, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat program tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Sengkarai Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang mana telah dialu-alukan oleh Ketua Cawangan Jabatan Belia dan Sukan Daerah Tutong, Awang Kamil bin Haji Lamat selaku pengerusi acara dan Pengurus PKWE Daerah Tutong Haji Metamit bin Mat Zain.
Program tersebut diisi dengan sesi pembentangan yang disampaikan oleh empat orang ahli panel iaitu yang terdiri dari wakil-wakil PKWE Daerah Tutong, Dayang Roziweta dan Haji Ahmadbi bin Haji Othman yang membentangkan mengenai Kepimpinan dan Pengalaman dan Keusahawanan dan Kraf tangan.
Seterusnya panel kedua dan ketiga pembentangan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat (Bahagian Kebajikan dan Kemasyarakatan), Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Lt Kolonel (B) Haji Ramli bin Abdul Hadis menyampaikan tajuk Kepelbagaian dan Kemasukan. Manakala panel terakhir wakil dari Pusat Bahagia Tutong, Awang Mohammad Aidil bin Jahali pula menyampaikan pembentangan bertajuk Perlaksanaan Program.
Sehubungan itu, Awang Abdul Aziz selaku Pengerusi Kumpulan IMPAK Tutong Youth Movement menyatakan dengan adanya program sedemikian diharap dapat meningkatkan kesedaran para belia dan beliawanis serta masyarakat untuk sentiasa bergiat aktif dalam kesukarelawan.
“Bukan hanya menitik beratkan pengetahuan kurikulum sahaja, aktiviti kokurikulum mahu pun pengalaman luar sekolah juga begitu penting untuk diterokai demi meraih pengetahuan dan pengalaman baharu yang mungkin tidak didapati sewaktu menuntut di sekolah dan di institusi-institusi pengajian tinggi. Oleh itu, sentiasa melibatkan diri bersama masyarakat secara sukarela.
“Salah satunya dengan mengamalkan budaya tolong-menolong dan juga sentiasa berkongsi pandangan bersama golongan warga emas dan orang-orang berkeperluan khas demi meningkatkan prestasi diri,” ujar Awang Abdul Aziz.
