Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Program Perlindungan Pengguna di ASEAN II (PROTECT II) yang dilaksanakan oleh Kementerian Persekutuan Jerman untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (BMZ) dan telah dilaksanakan oleh GIZ, bertujuan untuk memperkukuhkan sistem perlindungan pengguna di ASEAN melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa perlindungan pengguna, perniagaan dan organisasi masyarakat sivil.
Bagi mengukuhkan lagi usaha itu di seluruh kawasan ASEAN, PROTECT II telah menganjurkan Bengkel Serantau mengenai Amalan Perniagaan Inklusif di Movenpick BDMS Wellness Resort Bangkok Hotel, Thailand baru-baru ini.
Delegasi dari Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Timbalan Presiden Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dan Exco PAPDA, Haji Noor Ishanuddin bin Haji Noor Kaseh; Naib Presiden MKOKU dan Ahli Majlis Orang Kurang Pendengaran (OKP), Wan Mohd Thaqif Fayyadh bin Mohd Hijazi; Presiden Persatuan SMARTER Brunei dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi MKOKU, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang; dan Ahli Persatuan SMARTER Brunei, Dayang Hernah Nur Imani binti Mohd Jeffrey.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan, program PROTECT II telah memulakan beberapa aktiviti perintis untuk memperluaskan dan menguatkan perlindungan bagi pengguna yang terdedah, khususnya pengguna dengan orang kelainan upaya (OKU) di beberapa negara anggota ASEAN terpilih seperti Kemboja, Indonesia dan Vietnam.
Bengkel berkenaan bertujuan mengumpulkan pandangan serta mengemukakan cadangan daripada pihak berkepentingan yang relevan dalam melaksanakan amalan perniagaan inklusif yang dapat memenuhi keperluan dan keadaan pengguna dengan OKU di setiap negara anggota ASEAN.
Melalui bengkel ini, PROTECT II diharap dapat memperkukuhkan kerjasama serantau dalam memperbaiki perlindungan dan aksesibiliti pengguna dengan OKU serta menggalakkan perniagaan di ASEAN untuk mengadaptasi amalan perniagaan yang inklusif.
