BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Imarah menganjurkan program Talian Kasih: Masjid-masjid SeBorneo yang diadakan melalui kaedah persidangan video dalam talian, kelmarin.
Program yang dilaksanakan secara dwi bulanan itu melibatkan penyertaan ahli jawatankuasa (AJK) takmir serta pegawai-pegawai masjid dari Negara Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak.
Hadir menyertai program tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Lawi bin Haji Lamat.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri; Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis-Madang, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Information Centre (IIC) Sarawak, Tazudin Mohtar; Pengerusi Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong, Safiuddin bin Matsah; AJK Masjid SSBRPAD, Kampung Manggis-Madang serta AJK masjid dan surau seluruh Negeri Sarawak.
Pada Februari lalu, program telah diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Diikuti di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pada bulan April dan pada kali ini, ia diteruskan di Masjid SSBRPAD, Kampung Manggis-Madang.
Program tersebut diadakan untuk memperluas jaringan kerjasama antara masjid-masjid di dalam dan luar negara, khususnya di rantau Borneo.
Selain itu, ia juga untuk memupuk hubungan yang kukuh untuk saling memanfaatkan kerjasama antara masjid-masjid dan membuka jalan bagi apa-apa usaha dan projek pada masa yang akan datang.
Program tersebut juga dihasrat untuk berkongsi maklumat dan ilmu bagi setiap persempenaan atau setiap dua bulan sekali.
Dengan adanya program itu, diharap dapat menjalin jaringan kerjasama dalam mempromosi pelancongan Islam dengan negara-negara seBorneo. Pada masa yang sama, menjadi wacana ilmiah dalam menjalin rangkaian persahabatan antara Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara yang dijemput.
Program seterusnya akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.