Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Persediaan Pekerjaan diteruskan di Daerah Belait

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BELAIT, 12 MEI – Inisiatif Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Program Persediaan Pekerjaan diteruskan lagi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan para pencari kerja tempatan, dan kali ini akan diperluaskan ke Daerah Belait.

    Program tersebut merupakan kesinambungan kepada Program Akar Umbi yang telah dilaksanakan bersama penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung pada tahun lalu.

    Edisi terbaharu program ini akan berlangsung selama sehari iaitu pada 21 Mei depan, di Bilik Kasuari, Kelab Rekreasi Brunei Shell, Panaga, Seria.

    Ia juga dijangka akan dilaratkan ke daerah-daerah lain secara bulanan.

    Bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing anak tempatan, program ini bakal menampilkan pelbagai bengkel serta aktiviti team-building yang menarik dan interaktif.

    Pendekatan ini diharap dapat mengasah kemahiran asas penting seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan dan komunikasi profesional.

    Para peserta juga berpeluang memahami secara lebih mendalam keperluan dan cabaran dalam pasaran kerja melalui bimbingan praktikal dalam modul seperti Latihan Komunikasi dan Kemahiran Insaniah, Penyediaan CV, serta Persediaan Temuduga.

    Modul-modul ini akan dikendalikan oleh jurulatih bertauliah kerjaya dari Pusat Pekerjaan Brunei, bersama pakar-pakar dari syarikat pembekal latihan terpilih menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    Pendaftaran kini dibuka kepada orang awam, khususnya penduduk Daerah Belait, melalui pautan, linktr.ee/PPBcareer atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan.

    Poster rasmi Program Persediaan Pekerjaan di Daerah Belait. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PEKERJAAN BRUNEI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda