Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Persediaan Pekerjaan pada 27 Ogos

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri akan meneruskan Program Persediaan Pekerjaan pada 27 Ogos ini di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) di RPN Lambak Kanan.

    Menurut kenyataan pusat tersebut, program sehari itu adalah sebagai usaha membekalkan para pencari kerja tempatan dengan persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

    Program tersebut dikendalikan oleh jurulatih kerjaya bertauliah dari Pusat Pekerjaan Brunei dengan kerjasama syarikat penyedia latihan yang terpilih sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

    Dengan mengikuti program tersebut, para peserta diharap akan memperolehi kemahiran komunikasi yang lebih mantap, keyakinan diri terutama semasa temu duga, keupayaan membuat pembentangan secara profesional, serta kefahaman terhadap keperluan industri dan jangkaan majikan termasuk etika kerja yang profesional.

    Program itu juga membantu peserta untuk memanfaatkan maklum balas sebagai alat penambahbaikan serta mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari bagi meningkatkan peluang dalam pasaran kerja.

    GAMBAR SERAHAN PUSAT PEKERJAAN BRUNEI

    Selain itu, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan praktikal serta bimbingan asas dalam meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing pencari kerja tempatan melalui bengkel dan aktiviti berpasukan.

    Antara pengisian yang diberi penekanan termasuk penyediaan CV, persediaan temu duga serta kemahiran insaniah seperti komunikasi dan keyakinan diri.

    Program sebegini pernah dilaksanakan di Daerah Belait dan Tutong pada bulan April dan Mei tahun ini.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya pencari kerja tempatan adalah dialu-alukan untuk menyertai program ini dengan mendaftar melalui pautan: linktr.ee/PPBcareer.

    Bagi sebarang pertanyaan, hubungi Pusat Pekerjaan Brunei semasa waktu pejabat di talian 2444100 (sambungan 102), teks WhatsApp 7291785 atau melalui e-mel info@ppb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda