Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program pertukaran belia Brunei, Korea perkukuh kerjasama

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) telah menjadi tuan rumah bagi Pusat Pertukaran Belia Korea di bawah Program Jangkauan Belia Antarabangsa, hari ini.
     
    Program anjuran Agensi Kerja Belia Korea (KYWA) itu antara lain bertujuan untuk memupuk pertukaran budaya serta persefahaman antara belia Korea dan Brunei, selain mengukuhkan kerjasama dan kolaborasi antara organisasi belia dari kedua-dua negara. 
     
    SM YSHHB merupakan salah sebuah sekolah yang dipilih untuk program ini yang dihasrat dapat menyokong misi KYWA dalam membentuk pemimpin belia global masa depan, di samping menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada belia Brunei serta mewujudkan peluang bagi penglibatan dan penyertaan aktif belia Brunei.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Pengarah Urusan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YSHHB, Haji Abdullah@Dollah bin Haji Ahad. Turut hadir ialah Pengetua SM YSHHB, Dayang Sarimah binti Haji Lusin; Pengetua Sekolah Rendah (SR) YSHHB, Hajah Hafizah binti Haji Salat; Penolong Pengetua SR YSHHB, Hajah Norhamizah Lailawati binti Haji Abdul Hamid; dan Penolong Pengetua Taska YSHHB, Hajah Eryne Maisurah binti Haji Matdanan.
     
    Dalam program itu, belia program Korea telah memperkenalkan kebudayaan dan permainan tradisional Korea, selain menganjurkan aktiviti ‘Yutnori Secara Berkumpulan’ berasaskan permainan tradisional Korea.
     
    Di samping itu, turut diadakan aktiviti pesta permainan tradisional Korea yang berkonsepkan interaktif, direka untuk memberikan peluang kepada belia Brunei untuk menyertai secara bebas dalam pelbagai permainan tradisional Korea. 
     
    Sejak penubuhannya pada tahun 2008, Pusat Pertukaran Belia Korea telah secara aktif menjalankan pelbagai program pertukaran antarabangsa. 
     
    Inisiatif-inisiatif berkenaan direka untuk memberikan peluang kepada golongan muda memperluaskan pandangan mereka, mengalami pelbagai budaya serta membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin global masa depan.
     
    Pelajar SM YSHHB mencuba sendiri permainan tradisional Korea semasa program itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Para pelajar SM YSHHB semasa mengikuti aktiviti ‘Yutnori Secara Berkumpulan’ pada program tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda