Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program ‘Pilihan24 Radiothon’ pada 2 Mei

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Bagi memperingati Sambutan Jubli Intan Perkhidmatan Radio Brunei, Pilihan FM akan mengudarakan program khas pada 2 Mei ini selama 24 jam bermula dari tengah malam, menjadikannya program sepanjang hari dan malam yang benar-benar unik.

    Program ‘Pilihan24 Radiothon’ akan diketuai oleh hanya dua penyampai Pilihan FM, iaitu Frankie Chan untuk sesi Bahasa Inggeris dan Mei Ting untuk Mandarin. Siaran berkenaan bukan sahaja yang pertama kali diadakan di Brunei, tetapi juga merupakan yang pertama seumpamanya dicuba di radio Brunei.

    Kedua-dua penyampai berkenaan akan memastikan pendengar banyak mendengar muzik-muzik baik yang terdiri daripada lagu-lagu hit dari tahun 1957, lagu dwibahasa yang popular (Bahasa Inggeris dan Mandarin) dan juga banyak perbualan yang berkualiti dilakukan dengan gaya ‘All Good Radio’.

    Frankie Chan dan Mei Ting perlu berjaga dan menjadi hos bagi pelbagai segmen interaktif dan menghiburkan bagi pendengar mereka yang sentiasa menyokong Radio Brunei, terutamanya program Bahasa Inggeris dan Mandarin selama ini.

    Radiothon tersebut akan bersiaran langsung pada masa-masa yang dipilih melalui platform media sosial Pilihan FM, Facebook dan Instagram yang menampilkan pelbagai tetamu termasuk wawancara langsung di studio dengan komuniti diplomatik, bakat-bakat tempatan yang akan datang, mainan semula (playback) beberapa segmen radio lama yang popular serta rakaman temu bual bekas pengeluar radio dan penyampai Radio Brunei.

    Frankie Chan dan Mei Ting yang akan mengendalikan Program ‘Pilihan24 Radiothon’ pada 2 Mei ini.
    Frankie Chan dan Mei Ting yang akan mengendalikan Program ‘Pilihan24 Radiothon’ pada 2 Mei ini.

    Laporan lintas langsung pelancaran rasmi Sambutan Jubli Intan Radio Brunei di Dewan Raya RTB akan dijalankan serta laporan dari Radio Studio A bagi Pameran Khas 6 Dekad Radio Brunei.

    Antara objektif sambutan tersebut adalah untuk menghargai sokongan masyarakat sepanjang tahun dan membantu mempromosikan stesen kepada orang ramai serta menjadikan stesen radio tempatan yang pertama mengendalikan Radiothon 24 jam.

    Hadiah-hadiah menarik seperti penginapan hotel dan resort di Kota Kinabalu, pakej perjalanan semalaman Daerah Temburong, beg hadiah, barangan Pilihan FM, perkhidmatan rambut dan solek, kek dan banyak lagi turut menanti pendengar yang mendengarkan program ini.

    Permainan interaktif di mercu-mercu tanda tempatan, teka-teki dan soalan pengetahuan am berdasarkan penubuhan Radio Brunei di mana kuiz berkenaan akan dijalankan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) Pilihan FM, (setiap SMS akan dikenakan bayaran 50 sen).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda