Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Awang Abdul Aziz
TUTONG, 21 DIS – Eco Ponies Garden tidak ketinggalan mengisi musim cuti persekolahan dengan pelbagai kegiatan positif menerusi Program Postcard yang melibatkan golongan belia dan beliawanis tanah air di AMAS Apartment, Bangunan AMAS, Kampung Lamunin, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Salah satu acara utama program berkenaan ialah Sesi Sembang Hi-Tea bersama penerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2022, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang secara umumnya telah mengongsikan pelbagai kisah inspirasi dan pengalaman khususnya sepanjang meniti dunia kesukarelawanan dan kepimpinan.
“Berkongsi detik-detik suka dan duka sesama para belia dan beliawanis sebegini sememangnya banyak membuka minda dan jiwa kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelum lebih-lebih lagi untuk menggapai sebuah kejayaan.
“Saya tidak mengatakan, saya seorang yang hebat tetapi satu hal yang perlu kita pegang ialah segala apa yang kita miliki adalah milik Allah SWT. Setiap insan itu sudah ditetapkan rezeki masing-masing namun apa yang pasti selagi masih dikurniakan rezeki kesihatan dan masa maka menjadi tanggungjawab kita untuk memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri bahkan untuk masyarakat secara menyeluruh,” ujar Awang Abdul Aziz dengan penuh kesyukuran.
Dalam pada itu, beliau turut menaruh harapan agar satu hari nanti belia-belia di negara ini akan terus maju ke hadapan serta dapat mencapai matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 serta para belia akan terus bangkit berjuang menggembleng tenaga dan buah fikiran ke arah Wawasan Brunei 2035.
Salah seorang beliawanis yang hadir, Dayang Umairah binti Haji Ali Bolkiah berkata, perkongsian yang berharga sedemikian mampu memberi motivasi dengan kata-kata semangat agar tidak mudah berputus asa dalam meneruskan perjuangan meskipun cabaran berada di depan mata.
“Cabar diri untuk sentiasa aktif melakukan aktiviti kesukarelawanan kerana dengan adanya penglibatan ini, ia memberikan pengalaman yang banyak dan berguna kepada para belia nanti. Di samping itu, para belia disaran untuk tidak terlalu berharap mendapatkan imbalan apabila menjadi sukarelawan kerana yang penting sentiasa menyemai niat yang ikhlas untuk membuat kerja-kerja tersebut,” ujarnya.
Di samping sesi perkongsian berkenaan, Children Storytime dan Thrift turut diadakan semasa program itu yang turut menyajikan juadah makanan dan minuman.



