Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan SM SMJA
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Kehadiran dan ketepatan masa pelajar ke sekolah terus ditekankan dengan Program Lakastah Awal Datang ke Sekolah akan diteruskan lagi bagi memupuk nilai jati diri pelajar untuk lebih berdisiplin.
Penekanan itu dibuat oleh Pengetua Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), Dayang Norhashimah binti Haji Burut dalam kata alu-aluannya semasa Program Orientasi Tahun 7, 2023 yang berlangsung di sekolah itu, kelmarin.
Beliau turut menyatakan, pelajar-pelajar juga perlu mempunyai etika yang betul dalam penggunaan teknologi apatah lagi SM SMJA adalah salah sebuah sekolah di bawah projek Bilik Darjah Digital di mana teknologi memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Mereka perlu menyedari, mempertimbangkan dan berhati-hati terutama sekali sewaktu melayari Internet,” tekannya.
Ulasnya lagi, “Penggunaan secara berhemah memerlukan bimbingan dan pemantauan daripada ibu bapa dan penjaga untuk melahirkan masyarakat yang positif.”
Ke arah itu, pihak sekolah telah menjemput penceramah dari Cyber Security Brunei untuk mengongsi bagaimana ibu bapa dapat mengawal penggunaan teknologi dan juga memberi beberapa nasihat bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan dalam mendidik anak-anak termasuk cara melayari Internet dengan lebih selamat.
Semasa program orientasi berkenaan, para ibu bapa dan penjaga serta pelajar-pelajar diberikan taklimat mengenai struktur, organisasi, infrastruktur dan aktiviti sekolah di mana ia dihasratkan untuk memberikan penerangan serta maklumat mengenai aktiviti akademik dan kokurikulum yang dilaksanakan oleh sekolah berkenaan.












