BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Bank Standard Chartered (StanChart) telah menganjurkan sesi bimbingan dan perbincangan secara maya bersama para pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang berlangsung di Bilik Senat Dewan Canselor, UBD hari ini bersempena dengan Hari Kesihatan Mental dan Minggu Pelabur Sedunia.
Program itu adalah sebahagian daripada program kepimpinan bank, aSCent, inisiatif bakat strategik yang bertujuan untuk mengenal pasti dan membentuk generasi peneraju seterusnya bagi bank di seluruh pasaran ASEAN. Program itu melibatkan ahli kohort yang dicalonkan dalam beberapa siri program dan aktiviti untuk mengembangkan lagi keupayaan kepimpinan dan memberi peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin kanan di bank.
Sesi bimbingan merangkumi pelbagai topik yang bermanfaat mengenai kesihatan, pilihan kerjaya, kehidupan dalam perkhidmatan pelanggan dan peranan teknologi dalam perbankan. Salah seorang mentor turut berkongsi pengalaman mereka dalam mendidik pelanggan tentang keputusan pelaburan – menyerlahkan kepentingan celik kewangan, kepercayaan dan perspektif jangka panjang untuk membina hubungan pelanggan. Antara mentor yang turut serta dalam sesi tersebut ialah Pegawai Eksekutif Standard Chartered Securities dan Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit, Brenda Low; Ketua Pegawai Teknologi dan Operasi StanChart, Jocelane Basir; Pengarah Bersekutu, Perbankan Korporat dan Pelaburan StanChart, Sharon Tan; dan Pengurus Pasukan Perbankan Keutamaan, Josh
Yen.
Ia kemudiannya diikuti dengan perbincangan secara maya bersama ahli panel yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Singapura dan ASEAN StanChart, Patrick Lee; Ketua Sumber Tenaga Manusia Singapura dan ASEAN StanChart, YS Wong; dan Psikoterapi dari Kaunseling dan Latihan Incontact, Ruchira Raj.
Ahli panel tersebut telah membincangkan tentang kepentingan kesihatan mental, keseimbangan kehidupan kerja, daya tahan dan pertumbuhan peribadi. Mereka meneroka bagaimana kesejahteraan lebih daripada sekadar menguruskan tekanan tetapi ia juga tentang mencari tujuan, menetapkan sempadan, memupuk semangat di luar kerja dan memimpin dengan empati dalam kedua-dua ruang profesional dan peribadi.
Program tersebut mencerminkan komitmen StanChart yang lebih luas terhadap kemampanan dan tanggungjawab sosial, menggalakkan kakitangan untuk menjadi sukarelawan dalam menyumbang kepada komuniti dan alam sekitar setempat.





