Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Demi mengukuhkan pemahaman mengenai Persidangan MMN ke-21 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Urusetia Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah menganjurkan Program PR Engagement MMN-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Program berkenaan menghimpunkan Pegawai-pegawai Perhubungan Awam (PRO), wakil-wakil kementerian dan jabatan serta wakil media swasta dalam sebuah sesi interaktif.
Program itu memberikan pengiktirafan kepada peranan yang dimainkan oleh kementerian dan media sebagai rakan utama bagi menyampaikan berita-berita serta maklumat kepada rakyat berkenaan MMN.
Pemangku Timbalan Jurutulis MMN, Pengiran Hajah Zaidah binti Pengiran Haji Petra dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa hubungan erat antara MMN, kementerian dan media bukan sahaja penting dalam memastikan liputan persidangan disampaikan kepada masyarakat, malah turut membantu dalam menyampaikan maklumat terkini mengenai MMN.
Salah satu aktiviti utama yang dijalankan adalah taklimat mengenai Persidangan MMN ke-21, yang telah memberikan gambaran menyeluruh mengenai prosedur dan proses kerja persidangan. Peserta program juga berpeluang berinteraksi dalam sesi dialog dan diikuti dengan lawatan khas ke pameran yang berkenaan dengan sejarah, peranan serta fungsi MMN.
Program itu bukan sahaja menjadi medan interaksi antara pihak media dan pihak Urusetia MMN tetapi juga membuka peluang kepada kerjasama lebih erat dalam memastikan penyampaian maklumat berkenaan MMN kepada masyarakat.