Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Program Rehlah Ilmiah anjuran Program Keagamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diadakan hari ini di Masjid Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer.
Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Kahfi beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Da’ie (SkiPPA), Urus Setia Program Keagamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Mu’iz bin Haji Jahair.
Seterusnya tazkirah bertajuk Rasulullah Teladan Keluarga Sakinah, Mawaddah, Warahmah disampaikan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Haji Azman bin Haji Musa.
Program turut diserikan dengan bengkel Tahsin Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh para Belia Da’ie.
Penganjuran program tersebut adalah hasil kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pusat Dakwah Islamiah, KHEU serta Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri; Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah selaku Pengerusi Bersama Majlis, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman; para pengarah, penolong pengarah, pegawai serta kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pusat Dakwah Islamiah; Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah Masjid Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti serta jemaah masjid berkenaan.
Tujuan program diadakan adalah untuk mendekatkan belia dengan kegiatan keagamaan serta menggalakkan aktiviti sihat agar mereka tidak terjerumus dengan gejala tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah dan jenayah.
Ia juga berperanan menanamkan jati diri melalui kecergasan fizikal dan mental di samping memupuk kasih sayang, semangat kerjasama dan perpaduan sekali gus mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta.




