Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid As- Salaam, Kampong Junjongan dengan kerjasama Bahagian Imarah, Bahagian Hal Ehwal Muslimah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei-Muara hari ini telah mengadakan program Rehlah Ila Ramadhan bersempena persiapan menjelang bulan Ramadhan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Zulkifli bin Haji Murat.
Program yang akan diadakan sebanyak empat kali berkenaan adalah dengan tujuan untuk memeriahkan lagi bulan Ramadhan yang semakin tiba supaya umat Islam di negara ini mendapat ilmu tambahan sebagai panduan dan juga peluang untuk mengulang kaji ibadah puasa.
Sesi pertama bagi program berkenaan telah diadakan di Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan di bawah kendalian Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat Kedua (Perantis Skippa), Awangku Muhd Ridhauddin bin Pengiran Mohd Amin sebagai moderator serta dua ahli panel iaitu Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi dan juga Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Salihan bin Samra.
Program seumpama itu diharapkan dapat menyampaikan ilmu untuk diamalkan dan disebarkan kepada masyarakat sebagai persiapan menyambut bulan Ramadhan yang akan menjelang nanti.