KENINGAU – Bermula dengan mengeluarkan sekitar 150 kilogram keropok ‘jejari manis’ sebulan, seorang usahawan di sini Ruhaineh Ajak, 46, berharap dapat meningkatkan pengeluaran dan pendapatan setelah dipilih sebagai peserta Program Rezeki Tani.
Pemilik perniagaan Ruhaineh Enterprise itu berharap mampu meningkatkan pengeluaran kepada 500kg produk itu sebulan dengan purata pendapatan RM5,000 yang dibantu oleh dua pekerja.
Beliau yang mengusahakan perniagaan itu sejak empat tahun lalu berkata, terdapat empat perisa keropok jejari manis dikeluarkan iaitu susu, keju, balado dan gula merah yang dijual pada harga RM5 setiap satu pek seberat 400 gram.
“Setakat ini, saya hanya mempromosikan produk saya menerusi laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp.
Para pelanggan di sekitar Keningau yang membuat tempahan akan datang mengambil produk jualan saya di rumah pada setiap hujung minggu.

“Saya merancang untuk menjual produk saya ke pasar raya mini dengan harapan ia akan lebih maju. Selain itu, saya juga mahu mengajak komuniti setempat terutama golongan wanita untuk bersama-sama belajar dan menimba pengalaman membuka perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya kepada Bernama.
Usahawan dari Kampung Skim Pamalan Liawan, dekat sini ditemui selepas menerima bantuan set peralatan termasuk mesin membuat keropok bernilai RM8,400 menerusi Program Rezeki Tani yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Badrul Hisham Mohd baru-baru ini.
Meskipun tidak menyangka terpilih menjadi antara peserta program berkenaan, namun, ibu kepada tujuh anak itu melahirkan rasa syukur dan terharu atas rezeki yang disifatkannya sebagai batu loncatan untuk meningkatkan produktiviti sekali gus melonjakkan lagi potensi produknya itu ke daerah lain di Sabah.
Beliau tidak menyangka dengan menjual keropok jejari manis dapat menjadi sumber rezeki untuk dirinya menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak yang mampu bertahan sehingga sekarang.
Selain Ruhaineh, seorang lagi usahawan wanita Keningau, Noriani Roslan dari Kampung Sondoton Baru turut menerima bantuan peralatan mesin menggoreng, kanopi dan peralatan dapur bernilai RM8,800 menerusi program itu bagi menjalankan perniagaan makanan yang telah diusahakannya selama 10 tahun.
Rezeki Tani program pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan dijenamakan semula daripada Program AZAM Tani dengan beberapa agensi MAFI ditugaskan melaksanakan inisiatif itu termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) – Bernama