Oleh Sim Y. H. –
TEMBURONG, 18 NOV – Seramai 140 penuntut Tahun 9 dan Tahun 10 Sekolah Menengah Sultan Hasan, Temburong (SMSHT) menghadiri Program Rakan Remaja Penerangan (RRP) yang berlangsung di dewan sekolah terbabit, baru-baru ini.
Program yang diadakan oleh Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Cawangan Daerah dan SMSHT itu bertujuan untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya mereka peka dengan perkembangan semasa.
Tujuannya juga untuk memberi kesedaran sivik, menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja serta menjadikan pelajar sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.
Hadir selaku tetamu kehormat pada program berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Ali Shafie bin Pengiran Haji Abas.
Turut hadir ialah Pengetua SMSHT, Awang Helmy bin Haji Abdul Rahman, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Penerangan, guru-guru kanan sekolah serta tenaga-tenaga pengajar.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan dan lagu patriotik, Bendera Negara, dan diberkati dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Taklimat bertajuk Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Cawangan Daerah Temburong, Jabatan Penerangan, Dayang Izzah Hazirah binti Haji Adi Othman.
Program RRP turut diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian serta persembahan sketsa serta lawak jenaka daripada penuntut SMSHT dan artis-artis undangan.
Persembahan sketsa bertajuk Luka Yang Dalam membawakan mesej kesedaran tentang sikap buli yang membawa kesan buruk terhadap kesihatan mental mangsa buli.
Manakala lawak jenaka bertajuk Viral dan Vandalisme mengetengahkan tentang kebijaksanaan para pelajar dalam menilai sesuatu perkara yang tular itu sama ada sesuai atau tidak untuk dijadikan ikutan dan bagaimana vandalisme mendatangkan kerugian kerana menyebabkan kerosakan harta benda.
Kuiz Kenegaraan turut diadakan bagi menguji kefahaman penuntut yang hadir tentang taklimat yang disampaikan di awal program. Penyampaian cenderamata kepada pemenang kuiz disampaikan oleh Pengiran Ali Shafie.