Thursday, November 21, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program ‘S.M.A.R.T Ranger’ didik pelajar budaya kitar semula

    Oleh Safira Pratiwi Satriyandinar

     

    KUALA LUMPUR – Apakah mungkin ‘sekeping kad’ dapat membantu usaha mengurangkan sampah daripada terus mencemari persekitaran negara ini?

    Apakah kad yang dimaksudkan itu juga boleh mewujudkan kehidupan yang lebih sejahtera untuk rakyat Malaysia sehingga boleh mencapai sifar sampah?

    Begitulah harapan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, Global Environment Centre (GEC) ketika melancarkan program ‘SMART (Start Managing All Resources Today) Ranger’ secara kerjasama dengan Recycle For Life (RFL), program kitar semula (di bawah naungan Cenviro) yang memberikan ganjaran tunai melalui penggunaan kad pintar.

    Cenviro yang bermaksud “Clean Environment” ialah anak syarikat Khazanah Nasional Berhad yang menyediakan pelbagai penyelesaian pengurusan sisa pepejal dan tenaga kitar semula.

    Program ini yang amenyasarkan golongan pelajar berharap dapat mendorong golongan pelajar khususnya menjadikan kitar semula sebagai amalan harian dan budaya hidup mereka.

    Pusat Kitar Semula Alam Flora (Buy Back Centre) yang terletak di Persint 9. – Bernama
    Orang ramai mengasingkan sampah mengikut jenis di Pusat Kitar Semula Alam Flora (Buy Back Centre) Persint 9. – Bernama

    Ia akan dilaksanakan selama dua tahun dan dijadualkan berakhir pada Mac 2020.

    Melentur buluh biar dari rebungnya

    Seperti pepatah Melayu ‘Melentur Buluh Biar Dari Rebung’, program SMART Ranger yang dibiayai Yayasan Coca Cola diyakini mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar khususnya tentang kepentingan kitar semula.

    Di bawah program ini juga, mereka dididik menjadi usahawan melalui penggunaan kad pintar yang disediakan oleh RFL.

    “Paling penting, mereka akan sentiasa berfikir tentang kitar semula, Jika kita tidak ada kitar semula dalam pemikiran kita, kita tidak mungkin dapat membuat perubahan,” kata Khalid Bahsoon, Pengarah Urusan, Cenviro Sdn. Bhd yang hadir pada majlis pelancaran SMART Ranger di SMK (P) Methodist Kuala Lumpur pada 25 Julai lepas.

    Program ini akan melibatkan 80 sebuah sekolah di Lembah Klang dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 40,000 orang pelajar.

    Secara puratanya kira-kira 37,000 tan sampah dihasilkan setiap hari di negara ini dan kebanyakan sampah itu akan berlonggok di tempat pembuangan sampah.

    Di Kuala Lumpur sahaja, dianggarkan purata bahan buangan sekitar 1.5 kilogram/seorang/sehari. Purata 20,000 tan sampah termasuk botol plastik, tin dan pelbagai sisa domestik yang boleh di kitar semula, dikutip setiap tahun dari Sungai Klang.

    Masalah sampah juga dijangka terus menjadi kritikal dengan peningkatan jumlah penduduk.

    Sebelum ini banyak usaha dilakukan untuk menggerakkan program kitar semula, malangnya cuma lima peratus sampah di negara ini dilaporkan melalui proses tersebut.

    Setiap satu kilogram daripada minyak masak terpakai yang ditukar di pusat kitar semula Alam Flora (Buy Back Centre) akan dibayar RM1.20 dan boleh dijadikan pendapatan lumayan sekiranya dilakukan secara berterusan. – Bernama
    Setiap satu kilogram daripada barang kitar semula yang ditukar di sini akan dibayar mengikut berat dan jenis dan boleh dijadikan pendapatan lumayan sekiranya ia dilakukan secara berterusan. – Bernama
    Minyak masak terpakai yang telah diproses berupaya dijadikan barang bernilai antaranya sabun, produk kosmetik dan lilin malah boleh ditukar menjadi biodiesel menerusi proses ‘tranesterifikasi’ yang dapat digunakan untuk kenderaan berat seperti bas dan traktor. – Bernama

    Kad pintar RFL

    Program SMART Ranger GEC ini akan menggalakkan pelajar mengitar semula melalui sistem belian semula.

    Bahan buangan terpilih untuk kitar semula adalah seperti kertas, botol plastik, keluli, aluminium serta sisa barangan elektronik. Semua bahan ini akan dibeli semula berdasarkan harga pasaran bahan kitar semula.

    Ia juga memberi tumpuan kepada Konsep Sifar Sisa melalui Pendekatan 4R2C (Fikir Semula, Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula, Pengkomposan dan Menutup Lingkaran).

    Sementara itu di bawah komponen RFL, sekolah dan pelajar diberi ganjaran tunai melalui kad pintar untuk kegiatan kitar semula.

    Bagi sekolah yang terlibat untuk program ini, guru serta 15 orang pelajar yang terpilih akan diberi latihan, antaranya untuk menyemai sikap tanggungjawab terhadap projek.

    Bahan kitar semula yang dikumpulkan akan ditimbang dan nilai tunai akan dikreditkan ke dalam kad pintar berdasarkan harga pasaran semasa.

    Kad pintar RFL yang mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia boleh digunakan untuk membeli barangan di kantin sekolah yang mengambil bahagian, kedai buku, pasar raya besar dan kedai rakan niaga.

    “Terima kasih kepada Yayasan Coca Cola kerana memberi sokongan untuk program SMART Ranger ini.

    Kami juga amat teruja untuk bekerjasama dengan RFL bukan sahaja untuk melaksanakan konsep sifar sisa di sekolah tetapi juga menyediakan sistem belian semula bahan kitar semula yang terangkum, yang pada masa ini kurang dilaksanakan di Malaysia.

    Pusat Kitar Semula Alam Flora (Buy Back Centre) dijadikan platform kepada semua pihak sebagai pusat sehenti (one stop centre) bagi tujuan belian barangan kitar semula dan pusat rujukan bagi mendapatkan maklumat khususnya mengenai kempen kitar semula dan pengasingan sisa pepejal di punca bagi mengurangkan isi padu sampah ke tapak pelupusan sampah. – Bernama

    “Sistem ini sudah tentu memberi motivasi dan membantu pelajar mengetuai usaha kitar semula dan menjadi juara dalam kalangan masyarakat mereka,” kata Penyelia Program RIVER Care GEC, Dr Kalithasan Kailasam.

    Belia sebagai duta  

    Buat masa sekarang kad pintar ini hanya diedarkan kepada pelajar sekolah kerana pada usia muda ini mereka mudah dididik dan diharap dapat menyebarkan maklumat mengenai kepentingan kitar semula kepada ibu bapa, kawan-kawan sekolah dan juga menerusi media sosial.

    Gareth McGeown, Ketua Pegawai Eksekutif Coca Cola’s Bottling Investments Group Singapore, Malaysia dan Brunei Darussalam menyifatkan pelajar sebagai generasi masa depan dunia.

    Beliau turut yakin golongan itu juga boleh menjadi tulang belakang kepada program SMART Ranger untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk masa depan.

    Untuk berbuat demikian, beliau menegaskan pelajar memerlukan asas yang kukuh serta pengalaman yang luas bagi memudahkan proses berkenaan.

    Berdasarkan ‘Sustainability Report 2016’ oleh Cenviro, sekitar 140,000 tan sisa berjadual dirawat di Malaysia.

    Sisa itu boleh menjadi sumber bahan baharu di samping mengurangkan pencemaran dan ruang tempat pelupusan sampah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda