Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Dalam sama-sama berbagi rezeki di bulan suci Ramadan ini, Majlis Perundingan Kampung Berserumpun Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mukim Mentiri turut tidak ketinggalan mengungkayahkan Program Santunan Kasih Berserumpun khusus kepada warga setempat yang memerlukan, baru-baru ini.
Menjelaskan lanjut mengenai pelaksanaan program berkenaan kepada pihak Media Permata, Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad yang mengetuai program berkenaan mengongsikan penyerahan sumbangan telah sempurna dihantar ke rumah-rumah penerima yang terdiri daripada 40 keluarga iaitu golongan ibu-ibu tunggal dan juga warga yang kurang berkemampuan yang menetap di tadahan Kawasan 4 RPN Kampung Panchor iaitu Jalan Bukit Bintagur, Bukit Sinadur, Bukit Pandayan dan Sungai Cerana.
Bantuan sumbangan berkenaan merupakan hasil sumbangan daripada hamba-hamba Allah, syarikat-syarikat swasta dan tidak terkecuali warga penduduk kampung setempat.
Dengan adanya program sedemikian, ia sememangnya bertujuan serba sedikit dapat meringankan beban para penerima dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Ia juga secara tidak langsung diharap mampu meningkatkan lagi semangat dalam diri masyarakat di negara ini untuk terus berkongsi rezeki sesama insan-insan yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa.
