Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Sejak lima tahun yang lalu, Kementerian Kesihatan telah meneroka dan membuat penyelidikan untuk mengintegrasikan sistem kecerdasan buatan (AI) pembelajaran mendalam klinikal dalam program saringan mata yang ada pada masa ini bagi meningkatkan lagi peluang pemulihan para pesakit diabetes.
Kajian pengesahan klinikal itu menunjukkan penggunaan perisian AI memberikan hasil yang sangat memberangsangkan dalam pengesanan awal referable diabetic retinopathy iaitu tahap retinopati diabetik yang memerlukan rawatan dalam kalangan pesakit di Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, penggunaan sistem AI juga dapat membantu memendekkan waktu pemeriksaan dari 60 minit kepada kira-kira lima hingga 10 minit kerana kebanyakan pesakit tidak lagi diperlukan untuk menggunakan ejen farmakologi untuk mendilatasikan mata.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Majlis Pelancaran Program Saringan Mata Kebangsaan Menggunakan AI sempena Hari Penglihatan Sedunia 2024 di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Yang Berhormat Dato juga menekankan pembentukan semula dan penambahbaikan kepada program saringan retinopati diabetik dan penyakit mata yang lain, bukan sahaja adalah selaras dengan matlamat strategik Kementerian Kesihatan dalam pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit, tetapi juga memberikan penekanan akan kepentingan penggunaan kesihatan digital sebagai satu norma.
“Oleh dengan itu, saya sukacita memaklumkan Kementerian Kesihatan melancarkan Program Saringan Mata Kebangsaan menggunakan AI dengan sistem EyRIS SELENA+.
“Langkah ini menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan negara kita dan ia selaras dengan matlamat kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk mencapai kualiti kehidupan rakyat yang tinggi,” jelasnya.
Menurutnya, pelancaran program saringan mata itu juga langkah pertama dalam visi jangka panjang negara untuk Rangka Kerja AI dalam Penjagaan Kesihatan.
Program saringan mata menggunakan AI itu, katanya, disediakan di semua hospital di negara ini termasuk Pusat Kesihatan Rimba, Pusat Kesihatan Muara, Pusat Kesihatan Sengkurong dan Pusat Kesihatan Berakas sejajar dengan matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu perlindungan kesihatan sejagat dan bagi memastikan akses kepada penjagaan mata untuk semua.
Selain itu, unit pemeriksaan mata mudah alih juga akan disediakan untuk mencapai pesakit di kawasan luar bandar.
Yang Berhormat Dato juga mengongsikan di Negara Brunei Darussalam terdapat kira-kira 23,000 orang hidup dengan masalah penglihatan dan daripada jumlah itu lebih 800 diklasifikasikan sebagai buta pada tahun 2020.
Ini bermakna prevalens kehilangan penglihatan ialah 5.1 peratus dan prevalens buta ialah 0.2 peratus dengan antara punca utama masalah penglihatan ialah katarak, masalah rabun dan retinopati diabetik.
Retinopati diabetik, katanya, merupakan komplikasi yang lazim terjadi disebabkan oleh penyakit kencing manis dengan paras gula yang tinggi di dalam darah menyebabkan kerosakan kepada retina mata.
“Penyakit ini menjejaskan lebih kurang satu pertiga daripada penghidap diabetes dan ketika ini, dianggarkan 12 hingga 20 peratus penduduk Brunei (kira-kira 50,000) menghidap diabetes dengan 20 hingga 30 peratus penghidap diabetes terkesan oleh retinopati diabetik,” tambahnya.
Beliau mengongsikan terdapat peningkatan kes retinopati diabetik yang baharu didiagnosis sejak 2021 hingga 2023 bagi pesakit di bawah umur 40 tahun.
Peningkatan ini, tekannya, menunjukkan retinopati diabetik semakin meningkat dalam kalangan pesakit yang lebih muda.