Thursday, February 13, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Satu Minggu Satu Juzuk berakhir

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Program Satu Minggu Satu Juzuk berakhir dengan Majlis Khatam seramai 174 peserta yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakillah Hayatul Bolkiah, Serusop hari ini.

    Para peserta khatam merupakan pelajar Pra hingga Darjah 5 iaitu 92 orang pelajar lelaki dan 82 pelajar perempuan yang berjaya menghabiskan pembacaan 30 Juzuk Al-Quran semenjak program ini mula diperkenalkan pada bulan Februari tahun 2016.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat, Ketua Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Sinega binti Haji Swadi.

    Ia kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga An-Nas oleh peserta khatam dan bacaan Takhtim oleh guru-guru sesi petang sekolah berkenaan, serta bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh salah seorang peserta khatam.

    Program Satu Minggu Satu Juzuk diakhiri dengan meraikan 174 peserta di Majlis Khatam Al-Quran.

    Majlis juga diserikan dengan Persembahan Dikir Marhaban oleh guru-guru lelaki sesi pagi dan petang sekolah tersebut.

    Program berkenaan adalah sebagai mendukung dan menjunjung tinggi hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menitikberatkan pendidikan agama khususnya Al-Quran peringkat asas agar ia kukuh dan mantap.

    Dengan adanya program seumpama ini, ia akan dapat memantapkan lagi mutu bacaan Al-Quran pelajar di sekolah agama menerusi amalan secara bertalaqi dan sekali gus menyuntik dan mendidik mereka agar sentiasa mencintai dan mengamalkan secara harian di samping melahirkan pelajar yang dapat menguasai bacaan Al-Quran secara bertajwid dan lancar, selain antara aktiviti tahunan sekolah dalam mengeratkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan tenaga pengajar, ibu bapa/penjaga dan pelajar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda