Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Para peserta Kelas Al-Quran dan Muqaddam di seluruh negara menyertai Program Tadabbur Surah Al-Fatihah pagi tadi bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama beberapa Ahli Jawatankuasa Takmir masjid terpilih.
Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah ‘A’ menjadi tumpuan utama bagi program yang dimudahcara oleh Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohamad Ali.
Program turut diadakan di beberapa buah masjid lain antaranya Masjid Omar ‘Ali Saifuddien bersama Pentadabbur Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohd Nasyith bin Superi; Masjid Kampung Batu Marang bersama Pentadabbur Penolong Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhd Zharfan bin Haji Awang Ahmad.
Bagi Daerah Belait, program berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait dengan Pentadabbur Imam Tingkat III, Masjid Kampung Sungai Liang, Awang Mohd Zulhilmi bin Mohd Jefri.
Di Daerah Tutong, program dikendalikan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai dengan Pentadabbur Imam Tingkat I, Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin, manakala di Masjid Kampung Telisai pula bersama Pentadabbur Imam Tingkat III, Masjid Kampung Danau, Awang Abdul Hadi bin Abd Rahman.
Sementara itu di Daerah Temburong, Masjid Kampung Selangan menjadi lokasi program bersama Pentadabbur Imam Tingkat I, Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Awang Mahdini bin Haji Kamis.
Program berkenaan antara lain bertujuan menambah pengetahuan mengenai kepentingan Surah Al-Fatihah dan terjemahannya, menggalakkan penghayatan serta pengamalan isi kandungan surah tersebut dalam kehidupan seharian.
Ia juga dihasratkan dapat mendidik para peserta agar sentiasa mengamalkan bacaan Surah Al-Fatihah setiap kali memulakan sesuatu majlis selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan kanak-kanak Kelas Al-Quran dan Muqaddam serta mengimarahkan masjid-masjid terpilih di seluruh negara.
Semua di atas: Antara suasana program berkenaan.

