Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Delegasi seramai 11 pelajar sekolah menengah, 2 guru dan seorang pengetua dari Boon Lay Secondary School berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat pembelajaran dan budaya Brunei melalui penyertaan dalam Program Sekolah Berkembar yang berlangsung di Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam (SMPIHM), Serasa, baru-baru ini.
Delegasi berkenaan berada di Negara Brunei Darussalam bermula 17 hingga 20 November di mana mereka berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti pembelajaran kolaboratif dan lawatan pendedahan budaya di serata negara.
Lawatan delegasi yang diketuai oleh pengetua sekolah berkenaan, Chan Zheng Ming, merupakan sebahagian daripada kerjasama berterusan antara kedua-dua institusi pendidikan berkenaan dengan matlamat untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan memperkayakan pengalaman pendidikan para pelajar.
Semasa program selama empat hari berkenaan, para pelajar daripada kedua-dua buah sekolah mengambil bahagian dalam sesi pembelajaran kolaboratif dan pameran berasaskan sekolah yang dikendalikan oleh kakitangan dan pelajar-pelajar SMPIHM.
Program itu juga meliputi lawatan ke mercu tanda yang terkenal di Brunei seperti Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah dan Pusat Kesenian Pertukangan Tangan Brunei, menawarkan para pelajar pelawat peluang menyaksikan warisan dan tradisi pertukangan tangan Brunei.
Wakil dari kedua-dua buah sekolah dipetik menyatakan program berkembar berkenaan terus memperkukuhkan hubungan di antara komuniti pendidikan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, menyediakan para pelajar peluang bermakna untuk membina hubungan melangkaui bilik darjah.
Program berkenaan berakhir pada 20 November lalu dengan kedua-dua buah sekolah merakamkan hasrat untuk mengembangkan lagi aktiviti bersama di bawah edisi akan datang Program Sekolah Berkembar itu.

Semua di atas: Para pelajar dari Boon Lay Secondary School berpeluang untuk mengenali budaya Brunei melalui pelbagai aktiviti yang dikendali semasa program diadakan di SMPIHM, baru-baru ini.


