Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 31 Julai – Gabungan Kelab Pusat Belia Daerah Temburong dan guru-guru sekolah rendah di daerah ini bersama Kumpulan Crescendo.BN, tidak terkecuali menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun melalui Program Semarak Belia di pentas perayaan, Padang Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada program dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cawangan Daerah Temburong itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, selaku Penghulu Mukim Bokok dan isteri. Turut hadir menyaksikan program tersebut adalah penghulu dan ketua-ketua kampung serta penduduk setempat.
Pelbagai pengisian telah diatur bagi menjayakan program ini, antaranya persembahan daripada penari gabungan Kelab Pusat Belia, JBS dan warga pendidik.

Selain itu, persembahan yang diungkayahkan telah berjaya menyatukan semangat perpa duan pelbagai kaum di daerah ini dengan perkongsian mengenai cabaran negara terutama golongan belia dalam misi mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara.
Manakala beberapa segmen sketsa lakonan ‘Nasi Sudah Menjadi Bubur’, ‘Generasi Belia Berwawasan’ dan ‘Kerana Maggie Hayam’ telah berjaya menyampaikan mesej mengenai toleransi dalam memainkan peranan belia untuk mewujudkan suasana harmoni melalui semangat setia kawan.
Melalui persembahan tersebut, ia telah berjaya memperlihatkan bahawa para belia adalah pemangkin generasi masa depan sebagai masyarakat belia berwawasan.