Oleh Syahmi Hassan –
BANGAR, 2 OGOS – Dalam usaha mempertingkatkan lagi rasa syukur, taat setia dan kasih sayang yang mendalam terhadap raja yang sangat dicintai, Jabatan Penerangan telah meneruskan Program Semarak Jabatan Penerangan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77, hari ini.
Program berbentuk ilmiah dan keagamaan itu dihasratkan memantapkan lagi hubungan raja dengan rakyat dan sebaliknya bagi menjamin keamanan, kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan yang berterusan di Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat pada program yang berlangsung di Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Temburong itu ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Kehadiran tetamu kehormat dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Program Semarak Hari Keputeraan.
Program diisikan dengan ceramah bertajuk ‘Maqasid Syariah dan Kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah’, yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Mohd Shahril bin Ahmad Razimi.
Dalam ceramahnya, beliau menyentuh mengenai kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta tadbir urus negara yang berdasarkan Maqasid Syariah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurut beliau, Baginda merupakan seorang raja atau ulil amri yang mempunyai sikap prihatin, pemedulian dan berjiwa rakyat sehingga hubungan raja dengan rakyat tiada tembok pemisah.
Beliau menjelaskan lagi bahawa Maqasid Syariah memainkan peranan utama yang bertujuan memelihara kemaslahatan di mana setiap aspek pengurusan dan pentadbiran mesti berteraskan kemaslahatan dengan memelihara lima perkara yang menyentuh aspek pemeliharaan agama, kehidupan, akal pemikiran, zuriat keturunan dan harta.
Pengurusan dan pentadbiran sesebuah kerajaan dalam Islam adalah bertepatan dengan maksud Siyasah Sya’iyyah yang menjalankan pengurusan dan pentadbiran berdasarkan sesuatu yang menjamin kebaikan dan mengelak keburukan selagi mana tidak terkeluar daripada batas-batas hukum syarak.
Pada majlis tersebut, tetamu kehormat majlis juga berkesempatan untuk menyaksikan Pameran Mini Fotografi yang dikendalikan oleh Unit Fotografi, Jabatan Penerangan yang merakamkan detik-detik istimewa semasa majlis ramah mesra bersama rakyat di Daerah Temburong baru-baru ini.