Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Program Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah Setiap Jumaat di Bulan Ramadan Tahun 1440H telah diteruskan lagi, hari ini, di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan mengupas Surah Ar-Rahman.
Pada Jumaat terakhir Ramadan ini, program diisikan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah, membaca Surah Ar-Rahman dan Tadabbur Al-Quran Surah Ar-Rahman ayat 1 dan 2.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, program berlangsung di Masjid Perpindahan Lambak Kanan di mana hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Tadabbur disampaikan oleh Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.
Turut hadir di Masjid Perpindahan Lambak Kanan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Di Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut pula hadir selaku tetamu khas ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar sementara itu, Tadabbur disampaikan oleh pegawai agama, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Pengiran Haji Mohd Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu.
