Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Program Siri Dakwah bertemakan Sirah al-Anbiya yang diadakan secara maya sejak 25 Jun sehingga 10 September lalu berakhir dengan majlis penutup yang diadakan secara dalam talian, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup yang diadakan oleh Badan Sukarelawan Belia Da’ie di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) itu ialah Pegawai Ugama Kanan, PDI selaku Ketua Mentor Program Keugamaan Belia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman. Dalam ucapannya, Haji Ahmad Abdussalam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seramai 14 peserta yang telah berjaya mengikuti program tersebut selama empat bulan.
Beliau menyarankan para peserta agar dapat menanamkan rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim supaya sentiasa berdamping dengan Al-Quran dan As-Sunnah bagi mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ini sebagai sebuah Negara Zikir.
Majlis diteruskan dengan penyampaian e-sijil melalui paparan slaid ditujukan kepada Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Kamaru Salam selaku tenaga pengajar dan kepada para peserta program tersebut.
Antara matlamat program berkenaan adalah untuk mengetahui dan mendalami usaha-usaha dakwah di Negara Brunei Darussalam.
Program berkenaan telah dibukakan kepada orang ramai yang berminat dengan objektif program sebagai platform bagi melahirkan golongan pendakwah muda bercorakkan da’ie yang unggul iaitu para anbiya yang dikisahkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.