Oleh Yusrin Junaidi –
TEMBURONG, 11 MEI – Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah pagi tadi mengadakan Program Sirah Nabawiyyah Kali Kedua bertempat di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong, kelmarin.
Program diserikan dengan ceramah bertajuk Akhlak Nabi Muhammad SAW: Satu Teladan yang disampaikan oleh Pegawai Ugama (SkiPPA), Bahagian Hal Ehwal Muslimah, JHEM, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Noorhazalina binti Mohiddin.
Ceramah tersebut memfokuskan tentang perjalanan kehidupan Nabi Muhammad SAW bertujuan agar para Muslimah dapat mencontohi keperibadian mulia Nabi Muhammad SAW, sekali gus menanamkan rasa cinta kepada baginda.
Penceramah turut menekankan bahawa menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan menjadikan Baginda sebagai ikutan merupakan asas dalam membina keluarga yang berakhlak dan diberkati.
Di samping itu, intipati ceramah mengingatkan bahawa berazam untuk memiliki akhlak yang baik dan menjauhi perkara yang dicela merupakan satu ketaatan kepada Allah SWT dan rasulNya.
Program ini diadakan sebagai usaha berterusan untuk memupuk minat dan memperluas pengetahuan para Muslimah terhadap sejarah Islam, khususnya mengenai sirah kehidupan Rasulullah SAW. Ia juga bertujuan memperkukuh penghayatan nilai-nilai murni Islam dalam institusi kekeluargaan.
Program ini merupakan siri kedua daripada empat siri Program Sirah Nabawiyyah yang dijadualkan berlangsung dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
