Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Persatuan Afiah telah menutup tirai Program Siri Kewangan Keluarga menerusi sesi terakhir bertajuk Wasiat, Hibah, Amanah dan Faraid: Menjaga Legasi Awda yang berlangsung di The Vue Space, The Promenade, Sungai Hanching, kelmarin.
Sesi berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 60 peserta yang terlibat secara aktif dalam perbincangan menyentuh aspek penting berkaitan pengurusan dan pemeliharaan legasi keluarga.
Sesi telah disampaikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Masyarakat dan Rakan Kongsi Utama di Yusof Halim & Partners, Awang Mohd Yusuf Halim.
Beliau berkongsi panduan praktikal mengenai penggunaan instrumen seperti hibah, wasiat dan amanah dalam mengelakkan pertikaian harta pusaka serta melindungi kepentingan waris, khususnya isteri dan anak-anak.
Para peserta turut didedahkan dengan penerapan instrumen-instrumen kewangan tersebut dalam konteks kehidupan sebenar menerusi langkah-langkah praktikal yang boleh diambil selepas sesi, dengan penyampaian yang mudah difahami dan menarik.
Sesi itu merupakan penutup kepada siri empat bahagian yang turut merangkumi topik penyediaan bajet, pemilikan rumah dan perancangan persaraan. Kesemua sesi dirangka bagi memperkasakan pengetahuan kewangan keluarga-keluarga di Brunei, serta memberi pendedahan kepada perancangan kewangan menyeluruh termasuk persediaan menghadapi kematian dan penjagaan masa depan waris.
Siri kewangan keluarga itu merupakan antara Program Perdana Persatuan Afiah bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, sebagai sokongan kepada Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035 iaitu mewujudkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
