Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Sivik labuh tirai

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Program Sivik Negara Brunei Darussalam kali pertama bagi Tahun 2023/2024 menutup tirainya hari ini dengan majlis penyampaian sijil kepada 39 orang peserta.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan itu ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Emzah.

    Ketua peserta program, Awang Muhamad Syahmi bin Muhammad Yussof dalam ucapannya menyatakan, kursus selama lima hari itu telah memberikan kefahaman kepada mereka mengenai kepentingan agensi-agensi kerajaan yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, peserta juga berpeluang menimba pengetahuan melalui taklimat-taklimat, aktiviti-aktiviti dan lawatan ke agensi-agensi kerajaan.

    Semasa kursus tersebut, para peserta dibawa membuat lawatan ke Bangunan Lapau, Jabatan Adat Istiadat Negara, Kem Latihan Kekal Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), dan Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk memastikan lepasan ijazah dan pegawai-pegawai baru berkhidmat akan dapat memahami dan sentiasa peka dengan maklumat terkini.

    Ini termasuk mengenai hal ehwal negara dan kerajaan di samping menjadi pemangkin ke arah cendekiawan yang dinamik, berkualiti, inovatif dan mampan.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan di Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri.

    Program dihasratkan menjadi salah satu platform bagi mempersiapkan para peserta mengharungi pelbagai cabaran masa depan dan mempersiapkan diri sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran yang tinggi serta mampu berdikari.

    Salah seorang peserta program menerima sijil daripada Dayang Siti Bismi Nuruliman pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda