Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2024 (IWD 2024), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Belia (PPB) kelmarin telah menganjurkan Program Komuniti Wanita: Cook for Good.
Hadir bagi menyempurnakan majlis pelancaran di PPB Kampung Tanah Jambu bagi program yang julung-julung kalinya diadakan itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi majlis, ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakan-rakan strategik KKBS.
Sesuai dengan tema IWD 2024 iaitu Invest in Women: Accelerate Progress, program ini telah disertai oleh tujuh orang wanita yang terdiri daripada golongan sasaran JAPEM. Selain meningkatkan kemahiran dan keusahawanan dalam kalangan wanita, program ini juga dihasratkan untuk menggalakkan para wanita menggunakan media sosial seperti Instagram sebagai salah satu kaedah atau platform dalam kehidupan seharian termasuk bagi mendapatkan menu-menu daripada pempengaruh cef yang terkenal.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pembantu Perkembangan Ugama, PPB, Awang Mohammad Nabil bin Haji Roslan.
Acara diteruskan dengan pelancaran program oleh tetamu kehormat yang seterusnya dibawa untuk menyaksikan hasil hidangan yang disediakan oleh para peserta. Program ini dikendalikan oleh Penolong Tenaga Pengajar PPB, Dayang Juraidah binti Haji Hamid dan Dayang Nur ‘Aeidah binti Haji Kamis selaku fasilitator.
Program tersebut melibatkan beberapa menu yang diinspirasikan daripada resipi masakan tular, Khairul Aming iaitu seorang pempengaruh cef Malaysia.
Melalui media sosial, para peserta dapat mengikuti dan mempraktikkan pembelajaran mereka dengan harapan agar ia dapat membantu dan membina keyakinan mereka untuk berjinak-jinak dan berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan oleh tetamu kehormat.



