Monday, July 8, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Program sokong perkembangan, pembelajaran awal anak-anak

    PUEBLO – Berdiri di ruang tamunya, Isabel Valencia menyediakan permainan tenis sementara dengan bahan yang ada – dengan menggunakan belon hijau sebagai bola dan pembaris yang dilekatkan pada pinggan kertas sebagai raket.

    Dia memukul belon itu kepada tetamu rumahnya, Mayra Ocampo, dan mereka saling memukul belon itu, mengira setiap pukulan, sambil memberikan galakan dan ketawa atas kesilapan mereka.

    Valencia akan cuba melakukan aktiviti yang mengiburkan dan menyeronokkan ini bersama anak perempuannya yang berusia 4 tahun, Celeste pada hujung minggu nanti.

    Ocampo menerangkan apa yang berlaku di sebalik aktiviti tersebut – mereka bukan sekadar bermain tenis. Mereka sedang membina kemahiran sosial. Mereka sedang melatih koordinasi tangan-mata. Dan mereka sedang berlatih kemahiran mengira.

    Valencia, yang datang ke Amerika Syarikat (AS) dari Colombia beberapa tahun lalu, bertemu dengan Ocampo melalui program percuma yang menyokong keluarga dalam pembelajaran awal dan perkembangan anak-anak mereka.

    Ocampo (kiri), semasa mengajar pelajaran mobiliti di ruang tamu Valencia di Pueblo, Colorado pada 28 Februari 2024. – AP
    Valencia memegang gambar keluarganya di rumahnya di Pueblo, Colorado, pada 28 Februari 2024. – AP

    Program kunjungan ke rumah telah menjadi penyelamat untuk keluarga-keluarga, terutamanya bagi mereka yang sukar mendapatkan akses kepada pendidikan awal yang berkualiti atau tidak mampu dari segi kewangan.

    Program-program ini, yang akan berkembang dengan sokongan kewangan persekutuan baharu, terbukti membantu mempersiapkan anak-anak untuk melangkah ke alam persekolahan, tetapi hanya sedikit keluarga yang telah mendapat manfaat daripadanya.

    Valencia mengetahui tentang program kunjungan ke rumah semasa dia berbelanja di pasar raya pada tahun 2022 bersama dua anak-anaknya yang masih kecil. Dia baru sahaja berpindah ke Pueblo, Colorado, beberapa bulan sebelum itu dan merasa terasing. Dia belum pernah bertemu dengan orang lain yang boleh berbahasa Sepanyol. “Saya tidak keluar dari rumah saya,” katanya melalui jurubahasa. “Jadi saya fikir saya seorang diri sahaja.”

    Program Arahan Rumah untuk Ibu Bapa Anak-anak Prasekolah, dikenali sebagai HIPPY, menyediakan sokongan kepada keluarga dengan individu terlatih — dalam kes Valencia, Ocampo — yang akan mengunjungi rumah mereka setiap minggu, menunjukkan kepada mereka cara melibatkan anak-anak mereka dengan aktiviti yang menyeronokkan dan sesuai dengan perkembangan.

    Program HIPPY adalah unik kerana pendekatannya melibatkan dua generasi. Melalui kunjungan ke rumah yang kerap dan perjumpaan kumpulan bulanan, ibu bapa belajar cara mempromosikan literasi awal dan kemahiran sosial-emosi daripada kakitangan yang telah mengikuti program itu sendiri dan sering berkongsi bahasa dan latar belakang yang sama dengan keluarga yang dilayani.

    Program ini dilaksanakan terutamanya di kawasan kejiranan berpendapatan rendah, serta melalui sekolah daerah dan organisasi yang terlibat dengan keluarga pendatang dan pelarian, kata Miriam Westheimer, ketua pegawai program HIPPY International, yang beroperasi di 15 negara dan 20 negeri AS.

    Di AS, sebanyak 24 model kunjungan rumah telah menerima kelulusan – dan seiring dengan itu, akses kepada pembiayaan – daripada program Kunjungan Rumah Ibu, Anak Damit dan Kanak-kanak Awal (MIECHV) oleh kerajaan persekutuan. Walaupun sesetengah program menekankan persediaan anak-anak untuk melangkah ke alam persekolahan, terdapat juga program lain yang menghantar pekerja sosial atau jururawat berdaftar yang memberikan tumpuan kepada kesihatan ibu dan anak.

    Dianggarkan sekitar 17 juta buah keluarga di seluruh AS mendapat manfaat daripada jenis perkhidmatan kunjungan rumah sukarela yang berasaskan bukti yang diterima oleh Valencia. Namun pada 2022, hanya kira-kira 270,000 buah keluarga yang dilaporkan mendapat manfaat tersebut.

    “Ini sepenuhnya disebabkan oleh sumber,” kata Dr Michael Warren, dari Biro Kesihatan Ibu dan Anak, yang menyelia program MIECHV. “Jika ada lebih banyak sumber, lebih banyak keluarga boleh dilayan.” Nasib baik, katanya, bantuan sedang diusahakan.

    Pelaburan kerajaan persekutuan dalam program MIECHV dijangka akan meningkat dua kali ganda daripada AS$400 juta kepada AS$800 juta setiap tahun, menjelang 2027. Mulai tahun ini, kerajaan persekutuan akan memadankan AS$3 untuk setiap AS$1 yang dibelanjakan dalam program kunjungan rumah bukan kerajaan, sehingga jumlah tertentu.

    Kini dalam tahun kedua program HIPPY, Valencia sebagai ibu bapa menjadi lebih yakin. Dia berkata kurikulum berstruktur yang diikutinya, digandingkan dengan sokongan Ocampo, telah membantunya mempersiapkan anak perempuannya untuk berkembang dengan baik di prasekolah.

    “Sebagai ibu bapa, sukar untuk mengimbangi segala-galanya – kerja, anak-anak, rumah,” kata Ocampo, sambil menyatakan bahawa banyak keluarga dalam senarai kesnya menghadapi halangan bahasa dan cabaran ekonomi seperti ketidakstabilan makanan.

    “Tetapi awda mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anak awda.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6 skala Richter landa Jepun

    KUALA LUMPUR, 8 JULAI - Satu gempa bumi kuat berukuran enam pada skala Richter dikesan berlaku di Kepulauan Bonin, Jepun pada jam 4.01 pagi tadi.  Jabatan Meteorologi Malaysia...