Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Semangat kepimpinan dan komitmen yang tinggi serta keyakinan yang mendalam jelas dilihat di setiap wajah para peserta Program Eksekutif Muda Kohort ke-2 yang terdiri daripada lima orang pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang telah berjaya menamatkan Program ‘Strayholders’ tahun 2018.
Rata-rata mereka yang ditemui Media Permata semasa majlis penutup di Dewan Penghayatan, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Rimba, Gadong, baru-baru ini, menyatakan Program ‘Strayholders’ tahun 2018 banyak memberi manfaat yang begitu bernilai mengenai kesedaran cinta kepada binatang terbiar, bukan sahaja kepada mereka, bahkan juga kepada semua lapisan masyarakat khususnya di Negara Brunei Darussalam meliputi para belia dan beliawanis serta kanak-kanak.
Kelima-lima mereka sepakat menyatakan bahawa program berkenaan perlu disebar luaskan kepada masyarakat di negara ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mereka menyayangi dan lebih bertanggungjawab terhadap binatang sekali gus diharap dapat mengatasi masalah binatang terbiar di negara ini.
Salah seorang daripada mereka, Dayang Noor Amal Azirah binti Haji Azlan yang juga selaku ketua kumpulan projek Program ‘Strayholders’ tahun 2018, telah melahirkan perasaan sangat gembira dengan adanya sokongan yang sangat positif daripada semua pihak terutamanya para peserta, sukarelawan dan semua guru serta para pelajar sekolah-sekolah rendah yang telah terlibat semasa jerayawara program berkenaan diadakan yang menurutnya, merupakan penyumbang utama program berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Beliau menekankan pentingnya program berkenaan disebar luaskan kepada masyarakat di negara ini untuk membuka minda masyarakat bahawa binatang juga seperti manusia yang boleh merasa lapar dan sakit.
Oleh itu mereka sudah setentunya memerlukan belas kasihan dan bantuan daripada kita sebagai makhluk yang dikurniakan akal yang baik.
Di samping itu juga bagi memberi sokongan kepada Care and Action for Strays (CAS) yang merupakan sebuah persatuan bukan kerajaan di negara ini dari semasa ke semasa agar isu-isu binatang terbiar dapat dibendung dengan segera.
“Diharap para belia dan pelajar sekolah rendah yang telah terlibat akan dapat mengamalkan ilmu yang diperoleh daripada program ini dengan sebaik-baiknya iaitu dengan menyebarluaskan segala mesej mengenai kesedaran cinta kepada binatang terbiar kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka agar melaluinya ia akan dapat meningkatkan usaha dalam menangani masalah binatang terbiar di negara ini dari semasa ke semasa,” tambah beliau yang juga merupakan salah seorang pegawai pendidikan di Kampus Perdagangan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Sementara itu, Darryl Tieng Woo Siong yang juga selaku penolong ketua kumpulan projek program berkenaan pula mengungkapkan perasaan teruja dan sangat dihargai atas sokongan padu yang diberikan oleh para belia dan sukarelawan.
Katanya, inilah yang telah memberi kekuatan kepada beliau dan rakan-rakan untuk terus bersemangat dalam memperjuangkan isu binatang terbiar di negara ini.
Beliau yang bertugas sebagai pegawai pendidikan di salah sebuah kampus IBTE itu menyatakan bahawa dengan adanya usaha menerapkan nilai-nilai cinta kepada binatang peliharaan daripada terbiar melalui pendidikan berkenaan diharap dapat menyelesaikan masalah binatang terbiar ini dengan jayanya.
Bagi Dayang Nor Amalina binti Haji Abdul Rahim pula, melalui perlaksanaan program itu telah banyak melatih dirinya untuk terus berjuang apabila hendak melakukan sesuatu yang baik dan berguna kepada masyarakat.
Menurut beliau lagi, penerapan program sebegini kepada para pelajar di sekolah-sekolah rendah merupakan suatu tindakan yang sangat baik kerana sebagai seorang guru, sudah pasti nilai-nilai murni wajib ditanam dalam setiap pengajaran dan pembelajaran.
Oleh yang demikian, mesej atau nasihat seperti kesedaran tentang isu binatang terbiar ini perlu dititik beratkan kepada masyarakat sejak kecil lagi, tambah beliau yang bertugas sebagai Pegawai Pendidikan di Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong.
Seorang lagi peserta, Awang Mohd Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof, turut menyatakan bahawa program sebegini amat penting dititikberatkan oleh semua pihak di negara ini memandangkan ia berkaitan dengan isu penjagaan kualiti hidup yang baik, selamat dan bersih, di samping untuk memupuk kesedaran orang ramai mengenai isu penjagaan binatang peliharaan agar ia tidak menjadi binatang terbiar yang kadang kala mampu menjejaskan keselamatan awam seperti kemalangan jalan raya.
“Dengan adanya penglibatan masyarakat antaranya para sukarelawan dan kanak-kanak dalam program ini, ia sudah setentunya dapat menerapkan kefahaman yang mendalam mengenai tanggungjawab seseorang Muslim dalam penjagaan haiwan melalui modul Menjaga Haiwan dari Perspektif Islam meliputi penekanan Islam mengenai isu binatang peliharaan dan taharah,” tambah beliau yang merupakan pensyarah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Dayang Nur Nazurah binti Haji Muhammad Alizul pula berkata, dengan tamatnya Program ‘Strayholders’ itu bukanlah suatu kesudahan yang akan berhenti setakat itu sahaja, sebaliknya ia sebagai suatu langkah untuk kumpulan berkenaan meneruskan usaha dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu binatang terbiar di negara ini.
“Binatang juga makhluk hidup yang mempunyai perasaan, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyemai sifat kasih sayang kepada binatang tanpa melakukan suatu penindasan,” ujar beliau yang merupakan salah seorang Pegawai Pendidikan di salah sebuah kampus IBTE di negara ini.
Kelima-lima mereka berhasrat untuk meneruskan Program ‘Strayholders’ ke-2 pada masa akan datang dengan merancang untuk mengadakan jerayawara meliputi sekolah-sekolah rendah yang lain dan juga peringkat menengah seterusnya ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Hasrat untuk meneruskan perjuangan adalah untuk memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat di negara ini mengenai kepentingan menjaga dan melindungi haiwan peliharaan dan juga yang terbiar selaras dengan slogan program berkenaan iaitu ‘Saya Akan Berbuat Baik Kepada Semua Binatang’.