Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Sua Muka dekati warga Kawasan 2 dan 4 RPN Panchor

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik telah mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Kawasan 4 RPN Panchor dan Kampung Kawasan 2 RPN Panchor, Mukim Mentiri, Daerah Brunei dan Muara bertempat di Dewan Serbaguna, Kelab Perkhidmatan Awam, Mentiri baru-baru ini.

    Program berkenaan adalah sebagai usaha untuk membarigakan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menghubungkan jalinan di antara penduduk kampung dan pihak kerajaan melalui kaedah penyampaian isu-isu kampung yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

    Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Yang Mulia Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini, manakala rombongan dari Kampung Kawasan 4 RPN Panchor diketuai oleh Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Panchor, Yang Mulia Awang Faidil Rosemady bin Mohamad manakala bagi Kampung Kawasan 2 RPN Panchor diketuai oleh Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Panchor, Yang Mulia Haji Awang Mohammad Eddie Hardey bin Haji Ibrahim.

    Turut hadir menyampaikan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung ialah pegawai- pegawai dari Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).

    Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai Peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

    Peranan program Sua Muka turut diterangkan sebagai salah satu usaha di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

    Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu- isu yang dibangkitkan, yang antaranya berkaitan dengan prasarana awam, keselamatan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.

     

    Semua di atas: Antara suasana semasa program berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda