TUTONG, 14 JUN – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong telah mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang Kawasan 3, Mukim Telisai, Daerah Tutong kelmarin.
Program yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Jalan Bukit Bincaloi itu merupakan usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan serta untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan.
Hadir selaku ketua rombongan Jabatan Penerangan ialah Pegawai Penerangan Kanan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah yang disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan jabatan itu.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kemajuan Perumahan dan DST Network (DSTN) Sdn Bhd.
Ketua rombongan telah menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat, dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Jelas beliau, program ini adalah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat.
Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 3, Awang Azman bin Haji Ismail menyambut baik program berkenaan yang tentunya memberikan peluang kepada penduduk kampung berkenaan dalam mengungkayahkan penyelesaian tentang beberapa isu yang dikemukakan.
Sesi dialog bersama penduduk kampung, jelas beliau, dapat memberi peluang untuk bertukar fikiran dan pandangan dalam usaha ke arah kemajuan dan kesejahteraan kampung dan juga Negara Brunei Darussalam.