Oleh Syahmi Hassan –
TEMBURONG, 24 JUN – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin, telah meneruskan lagi Program Sua Muka, kali ini bagi Kampung Amo, Mukim Amo, Daerah Temburong yang berlangsung di Rumah Panjang Amo B, Jalan Batang Duri, Temburong.
Program berkenaan merupakan usaha jabatan untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan dan dalam masa yang sama bagi menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.
Hadir selaku ketua rombongan Jabatan Penerangan ialah Pegawai Penerangan Kanan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah yang disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Beliau antara lain mengongsikan pesanan awam mengenai penyebaran maklumat palsu, impaknya dan juga tatacara untuk membuat laporan mengenainya.
Dalam mukadimahnya, Haji Fathi Foad telah menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat, dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Ketua Kampung Amo, Hujan anak Muit, dalam ucapan balas menyambut baik program berkenaan yang setentunya dapat memberikan manfaat dan peluang keemasan kepada penduduk kampung berkenaan untuk mendengar maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan dalam mengungkayahkan penyelesaian tentang beberapa isu yang dikemukakan dan perlu diketahui oleh penduduk kampung.
Menurut beliau, usaha tersebut merupakan platform yang berguna dalam menyampaikan maklumat yang jelas dan betul daripada pihak kerajaan kepada masyarakat kampung sekali gus membantu mengukuhkan hubungan erat antara pihak kerajaan dan penduduk kampung.
Program turut diisikan dengan perkongsian maklumat daripada agensi-agensi kerajaan yang diundang dan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan antara lain berkaitan dengan tapak-tapak tanah, pertanian, keselamatan, prasarana, perumahan, kemudahan awam dan perancangan kemajuan kampung.
Di samping itu, program juga diselitkan dengan penjualan buku-buku terbitan Jabatan Penerangan sendiri dan diakhiri dengan bergambar ramai.



